Pergi ke kandungan

Tanjung Sedili

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Semakan 223063 pada 14:20, 2 Mac 2007 oleh Polar (bincang | sumb.)

Tanjung Sedili ialah sebuah kawasan di timur laut negeri Johor, Malaysia. Terletak di muara Sungai Sedili di pinggir Laut China Selatan, kira-kira 40 kilometer dari Bandar Kota Tinggi, kawasan ini dibahagikan kepada tiga kawasan utama, iaitu Tanjung Sedili, Sedili Besar dan Sedili Kecil.

Kampung ini ialah tanah kelahiran Sasterawan Negara Allahyarham Dato Dr Usman Awang, serta Allahyarhamah Rosiah Chik, penyanyi lagu asli negara yang terkenal.

Sejarah

Mengikut pendapat orang lama, asal-usul nama Tanjung Sedili yang dibuka pada tahun 1937 adalah sempena mengambil nama seorang penduduk awal iaitu Deli yang berasal daripada Siam. Pada masa yang sama seorang Cina bernama Pongsai yang menetap dan menjadi peniaga di tempat tersebut. Suatu hari, Deli jatuh sakit dan penduduk bertanya sesama mereka yang berbunyi "Tak tengok Deli ke?" dan akhirnya perkataan ini dikenali dengan Sedili. Pada masa itu, perkataan pelat Pongsai juga menyebabkan Kuala Sedili mendapat nama.

Penghulu pertama pada masa itu ialah Wan Muda yang berasal dari Sungai Rengit berketerunan Mengkabal dan pada masa yang sama mereka adalah pelopor kepada kawasan Tanjung Sedili ini. Pengganti kepada Wan Muda ialah Penghulu Md. Akhir Bin Kahar yang dilantik oleh Sultan Johor dan kemudiannya digantikan dengan Penghulu Md. Lazim Bin Md. Akhir disebabkan oleh keuzuran.

Mengikut pendapat yang kedua pula, asal-usul nama Tanjung Sedili berasal daripada dua orang adik-beradik yang berasal daripada Pahang iaitu Ali Besar dan Ali Kechil. Kedua-dua mereka telah bergaduh dan membawa haluan masing-masing mengikut cerita. Ali Besar telah berpindah ke Sedili Besar dan Ali Kechil pula telah berpindah ke Sedili Kecil. Maka, disebabkan oleh adik-beradik inilah yang terciptanya nama Sedili Besar dan Sedili Kecil.

Mengikut cerita orang tua-tua, pada asalnya kampung ini dinama Tanjung Lembu yang mana ia telah dibuka dan mula diterokai oleh beberapa orang yang tidak dikenali asal-usul mereka. Mereka menetap dibahagian tanjung dan menjalankan aktiviti penternakan lembu disamping menjadi nelayan. Disebabkan ternakan lembu tersebut mula membiak dan terus bertambah bilangannya, maka mereka terus menetap dan menamakannya sebagai Tanjung Lembu. Ketua Kampung yang dilantik secara rasmi ialah Mohd Salleh Bin Mohamad dan digantikan oleh Syed Salim Bin Omar. Selepas tamat tempoh memegang jawatan tersebut beliau digantikan oleh Hj. Esa Bin Abdullah mulai tahun 80-an. Pada masa kepimpinan beliau, nama Tanjung Lembu telah ditukarkan kepada Tanjung Sedili secara rasminya.

Ekonomi

Kebanyakan penduduknya mencari rezeki sebagai nelayan. Kewujudan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Tanjung Sedili menjadi pemangkin kepada industri perikanan. LKIM menjadi pusat naungan atau dengan kata lain majikan kepada nelayan-nelayan. Namun demikian, terdapat juga syarikat persendirian yang menjalankan perniagaan dengan menjadikan nelayan-nelayan di sini sebagai pekerja.

Pantai Peranginan

Selain terkenal dengan sumber ekonomi dari hasil laut dan perikanan, Tanjung Sedili juga mempunyai pantai-pantai peranginan dan pelancongan yang indah seperti:

  • Pantai Teluk Mahkota (Jason Bay)
  • Pantai Temalah
  • Pantai Sedili Kecil

Pantai-pantai indah yang terdapat di sini ada yang telah dikomersilkan oleh pihak swasta seperti:

Tanjung Sedili juga telah dipilih sebagai salah satu lokasi Pertandingan Joran anjuran Berita Harian kerana lokasi strategiknya yang menjadi tumpuan serta syurga pemancing-pemancing.

Terdapat juga yang bekerja sebagai petani dengan mengusahkan tanaman kelapa sawit, getah, buah-buahan dan sayur-sayuran, kakitangan kerajaan serta peniaga-peniaga runcit.

Penduduk

Penduduk majoritinya adalah terdiri daripada bangsa Melayu. Hanya terdapat sedikit penduduk yang terdiri daripada bangsa Cina dan India.

Keunikan budaya yang boleh dilihat di Tanjung Sedili adalah gabungan budaya orang Melayu Johor dan orang Melayu Terengganu yang berhijrah sebagai nelayan ke Tanjung Sedili dari zaman sebelum merdeka lagi.

Ciri-ciri ini boleh dilihat dengan pelbagai makanan dari Terengganu seperti perusahaan keropok ikan, nasi dagang dan laksam telah menjadi sajian pilihan masyarakat setempat. Namun demikian, masyarakat setempat masih tidak melupakan ciri-ciri asli masyarakat Melayu Johor yang amat menggemari masakan asam pedas dan laksa johor.

Dialek

Selain itu, dialek serta lagu pengucapan masyarakat di sini juga agak berbeza dengan daerah lain di negeri Johor kerana gabungan dua budaya ini. Dialek Johor Riau yang diucapkan turut terkandung perkataan-perkataan kedaerahan yang tiada di tempat lain di Johor. Berdasarkan pengalaman penulis, berikut adalah perkataan unik yang diucapkan oleh masyarakat setempat:

  1. pah = amboi atau alahai
  2. leche = tilam
  3. menagar = menipu

Sementara itu, dialek pinjaman Terengganu turut digunakan dalam perbualan harian. Contoh-contoh perkataan Terengganu yang digunakan adalah seperti perkataan:

  1. mu = awak
  2. se'eh = terlalu kenyang
  3. sokmo = selalu
  4. tembo = lari dari kelas/sekolah/kerja

Intonasi perkataan yang berakhir dengan huruf 'g' juga seakan pengucapan orang Minang seperti :

  1. Kampuang = kampung
  2. Kuciang = kucing
  3. Tanjuang = tanjung

Petempatan

Kampung

Tanjung Sedili

  1. Pekan Tanjung Sedili
  2. Kampung Sri Gading
  3. Kampung Sungai Tuan Seth
  4. Kampung Teluk Jeri Luar/Dalam
  5. Taman Sedili
  6. Kampung Tanah Putih
  7. Kampung Sentosa
  8. Kampung Singapura
  9. Kampung Padang
  10. Kampung Teluk
  11. Kampung Simpang
  12. Kampung Prepat
  13. Kampung Tenggaham
  14. Kampung Air Gemuruh
  15. Kampung Gembut Luar/Dalam
  16. Kampung Sayang

Sedili Besar

  1. Kampung Tanjung
  2. Kampung Tengah
  3. Kampung Bukit
  4. Kampung Teluk Nyireh
  5. Kampung Semayung
  6. Kampung Nelayan

Sedili Kecil

  1. Kampung Sedili Kecil
  2. Kampung Belukar Durian

Pengangkutan

Darat

Terdapat tiga buah jalan raya yang menghubungkan Tanjung Sedili dari kawasan luar iaitu:

  • Jalan Kota Tinggi - Mersing (masuk di persimpangan Kampung Mawai)
  • Jalan Pesisiran Pantai

Dari Felda Air Tawar 5 melalui Desaru, Tanjung Balau dan Felda Lok Heng Selatan ke Tanjung Sedili. Jalan ini juga menghubungkan Tanjung Sedili hingga ke Pengerang yang berakhir di Tanjung Pengelih.

  • Jambatan Tanjung Sedili - Sedili Besar (Jambatan Hj Md Lazim)

Jambatan ini baru disiapkan pada bulan Mei 2006 dan menghubungkan Tanjung Sedili ke Sedili Besar serta ke Felda Tenggaroh di Mersing.[1]

Air

  • Bot Penambang

Digunakan oleh penduduk Sedili Besar untuk berulang alik oleh kerana terdapat tanah unjuran yang dipisahkan oleh Sungai Sedili. Bot penambang ini dipanggil Bot Syarikat oleh penduduk setempat.Jika dimajukan, perkhidmatan ini boleh dikomersilkan untuk pelancongan. Bot penambang ini serupa dengan bot penambang yang digunakan oleh penduduk di Seberang Takir untuk berulang alik ke Kuala Terengganu sebelum jambatan menghubungkannya ke Kuala Terengganu digunakan.

Bot Penambang kini telah tidak lagi digunakan dengan siapnya Jambatan yang menghubungkan Tanjung Sedili dan Sedili Besar.

  • Sampan/Perahu

Penduduk di Kampung Teluk, Simpang, Prepat dan Tenggaham menggunakan sampan/perahu dan juga 'jalur' (sampan berbentuk U leper) untuk ke Pekan Tanjung Sedili. Kini, penduduk di Kampung Teluk, Simpang, Prepat dan Tenggaham juga boleh menggunakan kenderaan darat untuk ke Tanjung Sedili setelah Jambatan baru disiapkan.

Kemudahan-kemudahan

Sekolah

Sekolah rendah

  1. Sekolah Kebangsaan Sri Setia Jaya Tanjung Sedili
  2. Sekolah Kebangsaan Sedili Besar
  3. Sekolah Kebangsaan Sedili Kecil
  4. Sekolah Kebangsaan Kampung Gembut

Sekolah menengah

  1. Sekolah Menengah Tan Sri Jaafar Albar [(http://members.tripod.com/~SMKTSSJA)]

Sekolah agama

  1. Sekolah Agama Seri Mahkota Tanjung Sedili
  2. Sekolah Agama Sedili Besar
  3. Sekolah Agama Sedili Kecil
  4. Sekolah Agama Kampung Gembut

Masjid

  1. Masjid Jamek Tanjung Sedili
  2. Masjid Jamek Sedili Besar
  3. Masjid Jamek Sedili Kecil
  4. Masjid Jamek Kampung Gembut

Balai Polis

  1. Balai Polis Tanjung Sedili

Klinik Kesihatan

  1. Klinik Kesihatan Tanjung Sedili
  2. Poliklinik Penawar Tanjung Sedili

Gambar-gambar di Sedili