Pergi ke kandungan

Studio Warisan Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Semakan 6330619 pada 14:30, 2 Oktober 2024 oleh Stress 043 (bincang | sumb.)
(beza) ← Semakan terdahulu | Semakan semasa (beza) | Semakan berikutnya→ (beza)

Koordinat: 2°16′50.5″N 102°18′02.3″E / 2.280694°N 102.300639°E / 2.280694; 102.300639

Malaysia Heritage Studios
ستوديو واريثن مليسيا
Pintu depan Malaysia Heritage Studios
Map
JenisTaman rekreasi/kebudayaan
LokasiAyer Keroh, Melaka, Malaysia
Dibuka pada
5 Februari 2024
Dimiliki oleh
Perbadanan Melaka (MCORP)[1]
StatusBeroperasi
Kos pembinaanMYR20 juta[2]
Laman sesawang
www.malaysiaheritagestudios.com
sunting
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Studio Warisan Malaysia (nama rasmi: Malaysia Heritage Studios) ialah sebuah taman tema yang mempamerkan hasil seni berdasarkan kepada elemen-elemen warisan dan berkonsepkan pendidikan dalam memberi pendedahan terhadap budaya dan warisan yang terdapat di Malaysia. Taman ini terletak di Ayer Keroh dalam negeri Melaka di mana ianya bertempat kira-kira satu kilometer dari Plaza Tol PLUS Ayer Keroh[3].

Antara tarikan utama yang terdapat di taman ini ialah "Rumah 13 Negeri" iaitu pameran rumah kampung yang dibina berdasarkan kepada budaya yang terdapat dari 13 buah negeri yang membentuk Malaysia[4]. Di dalam setiap rumah kampung ini, terdapat hasil seni yang menggambarkan ciri-ciri warisan yang terdapat di negeri tersebut. Selain itu, beberapa karakter lagenda dari cerita-cerita tradisional seperti Sang Kelembai dan Naga Tasik Chini turut dipersembahkan dalam bentuk paparan digital.

Malaysia Heritage Studios merupakan penjenamaan semula dari Taman Mini Malaysia dan ASEAN yang mula dibuka pada tahun 1986[5]. Pada ketika itu, ia mempamerkan 13 rumah mini yang mewakili setiap negeri di Malaysia serta rumah mini setiap negara yang menyertai ASEAN. Taman Mini Malaysia dan ASEAN diuruskan oleh pengurusan swasta namun ia dimiliki oleh agensi kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM). Pada tahun 2024, taman Malaysia Heritage Studios dibuka secara rasmi dengan pengurusan baharu[6] serta menampilkan perbezaan yang ketara dari segi pameran dan pendedahan berbanding Taman Mini Malaysia sebelumnya.


Asas kepada produk pelancongan yang terdapat di Malaysia Heritage Studios adalah berdasarkan kepada projek Taman Mini Malaysia dan ASEAN[7] yang mula dibuka kepada umum pada tahun 1986 di tapak lokasi yang sama. Ia menampilkan rekaan sebanyak 13 replika rumah tradisional dari kesemua 13 negeri dalam Malaysia. Pada bulan Januari 2019, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari meluahkan rasa kecewa terhadap pengurusan Taman Mini Malaysia dan ASEAN ekoran terdapat banyak fasiliti yang tidak diselenggara dengan baik[3]. Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) selaku pemilik taman juga bercadang untuk menghentikan operasi Taman Mini Malaysia selepas menerima banyak aduan daripada pengunjung berkaitan tahap penyelenggaraan dan keselamatan yang tidak memuaskan[8].

Pada bulan Disember 2022, Malaysia Heritage Studios mula dibuka untuk tontonan umum dan secara berperingkat apabila pengunjung hanya dibenarkan melawat Rumah Kedah dan Rumah Sabah[9]. Malaysia Heritage Studio dibangunkan dengan kerja-kerja naik taraf dilakukan ke atas 13 rumah tradisional di bawah Taman Mini Malaysia sebelum itu dengan kos naik taraf dianggarkan sebanyak RM20 juta[9]. Projek naik taraf ini merupakan hasil daripada jalinan kerjasama di antara syarikat swasta, Wegrow Global Sdn. Bhd. dan Kesumas Sdn. Bhd. yang meliputi kawasan seluas 16 ekar[10]. Berbanding pameran di bawah Taman Mini Malaysia, rumah-rumah tradisional di bawah Malaysia Heritage Studios kini menggunakan pendekatan teknologi di mana paparan digital dan berinteraktif dipasang di dalam setiap rumah[9]. Selain pameran rumah tradisional, Malaysia Heritage Studios mengetengahkan pelbagai watak lagenda seperti Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang[7], dan watak mitos seperti Sang Kelembai, Kuda Semberani, Mawas dan Naga Tasik Chini[2].

Pada 5 Februari 2024, pembukaan taman Malaysia Heritage Studios dilancarkan secara rasmi oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh[6]. Pembukaan taman dibawah pengurusan baharu ini telah membuka sebanyak 200 peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada penduduk tempatan[1]. Pada 23 April 2024, pengurusan Malaysia Heritage Studios telah menjalinkan kerjasama dengan Hikayat Fandom, iaitu penerbitan buku berasaskan kepada kisah-kisah mitos zaman dahulu[11].


Pameran dan tarikan

[sunting | sunting sumber]

13 Rumah (nama rasmi: 13 Houses) ialah koleksi 13 replika rumah tradisional dibina mengikut seni bina unik yang terdapat di kesemua 13 negeri di Malaysia[12]. Setiap rumah ini memiliki temanya yang tersendiri[10] dalam menggambarkan ciri kebudayaan dan warisan yang terdapat di negeri tersebut dengan menggunakan pendekatan teknologi bagi menampilkan konsep interaktif[13]. Semasa tempoh pembukaan untuk tontonan umum, hanya Rumah Kedah dan Rumah Sabah sahaja yang boleh dimasuki[2] dan rumah-rumah lain pula mula dibuka kepada pengunjung bermula pada bulan Jun 2023[14]. Rumah mengikut negeri dan tema yang terdapat di Malaysia Heritage Studios adalah[4]:

Rumah bukan negeri dengan tema "House of the celestial" di Malaysia Heritage Studios
  • Rumah Perlis[15] - nama tema: House of Busana
  • Rumah Pulau Pinang - nama tema: House of Silver Screen
  • Rumah Kedah[16] - nama tema: House of Cultural Belief
  • Rumah Perak - nama tema: House of Music
  • Rumah Selangor[17] - nama tema: House of Merdeka
  • Rumah Negeri Sembilan - nama tema: House of Wood Crafts
  • Rumah Melaka - nama tema: House of Golden Age of Melaka
  • Rumah Johor - nama tema: House of Festivities
  • Rumah Kelantan - nama tema: House of Performance Arts
  • Rumah Terengganu[17] - nama tema: House of Aquamarine
  • Rumah Pahang - nama tema: House of Hope
  • Rumah Sabah[14] - nama tema: House of Ethnic Arts
  • Rumah Sarawak - tiada nama tema

Laluan keliru

[sunting | sunting sumber]

Teka laluan keliru (nama rasmi: Immortal Maze[18]) ialah sebuah kawasan yang menempatkan pagar sesat berkonsepkan pendidikan, di mana pengunjung perlu menyelesaikan teka-teki yang terdapat di dalam pagar sesat tersebut[19]. Ianya bertemakan watak lagenda yang popular pada zaman dahulu seperti Gajah Mina, Garuda, Jentayu, Kuda Semberani, Mawas[20], Naga Seri Gumum dan Sang Kelembai[19]. Pengurusan Malaysia Heritage Studios menggunakan kaedah animatronik bagi menampakkan watak-watak ini seolah-olah "hidup", di samping menggunakan pelbagai alat seperti penderia bertujuan untuk berinteraksi dengan pengunjung[13].


Sejak bulan Januari 2023 sehingga Februari 2024, Malaysia Heritage Studios merekodkan sehingga 30,000 pengunjung yang telah melawati taman ini[1]. Semasa majlis perasmian, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan kemasukan percuma pada 20 Februari 2024 yang diisytiharkan cuti umum di negeri Melaka bersempena dengan Peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu[5]. Pengurusan Malaysia Heritage Studios kemudian merekodkan lebih daripada 2,000 pengunjung hadir untuk sesi pagi, bermula pada pukul 10 pagi sehingga 12 tengah hari[21]. Tawaran kemasukan percuma juga telah menyebabkan aliran lalu lintas menjadi sesak di laluan utama ke taman ini[21].

Pada bulan Julai 2024, Kerajaan Negeri Melaka mengumumkan Malaysia Heritage Studios disenaraikan sebagai salah satu lokasi pelancongan pada waktu malam di bawah program "Melaka Bila Larut Malam", iaitu sebuah program yang menawarkan aktiviti pelancongan dijalankan pada waktu malam ketika penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024[22]. Untuk edisi September 2024, Malaysia Heritage Studios merekodkan seramai 851 pengunjung apabila taman ini dibuka bermula pada pukul 9 malam sehingga 12 tengah malam[23] dengan membawa tema Hikayat Hang Tuah yang menawarkan pelbagai persembahan dan aktiviti berinteraktif[24].


  1. ^ a b c Norafiqah Jamal (5 Februari 2024). "'Taman warisan ajaib' beri nilai tambah pelancongan Melaka". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 April 2024. Dicapai pada 21 September 2024.
  2. ^ a b c "Malaysia Heritage Studios di Melaka akan dibuka esok". Bernama. 17 Disember 2022. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 Disember 2022. Dicapai pada 21 September 2024.
  3. ^ a b "Taman Mini Malaysia: Melaka sedia tukar pengurusan baharu". Sinar Harian. 11 Januari 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 November 2019. Dicapai pada 6 September 2024.
  4. ^ a b "13 State Houses". Malaysia Heritage Studios. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 September 2024. Dicapai pada 6 September 2024.
  5. ^ a b Norafiqah Jamal (5 Februari 2024). "Masuk percuma di Malaysia Heritage Studios, 20 Februari ini". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Februari 2024. Dicapai pada 6 September 2024.
  6. ^ a b "Merasmikan Pembukaan Malaysia Heritage Studio". UMNO. 5 Februari 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 September 2024. Dicapai pada 6 September 2024.
  7. ^ a b "MALAYSIA HERITAGE STUDIOS". Taman Murai Jaya. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 September 2024. Dicapai pada 21 September 2024.
  8. ^ "Taman Mini Malaysia, ASEAN perlu henti operasi". Sinar Harian. 16 September 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 September 2020. Dicapai pada 20 September 2024.
  9. ^ a b c "Malaysia Heritage Studios in Melaka gradually opens from tomorrow". Bernama. 17 Disember 2022. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 September 2024. Dicapai pada 20 September 2024.
  10. ^ a b "Malaysia Heritage Studios". Wegrow Global. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 September 2024. Dicapai pada 20 September 2024.
  11. ^ "Malaysia Haritage Studios, Hikayat Fandom jalin MoU galak kelestarian pelancongan". Utusan Malaysia. 23 April 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 Mei 2024. Dicapai pada 23 September 2024.
  12. ^ Nur Syamimi (22 Disember 2022). "Diberi 'Nafas Baru', Melaka Heritage Studios Sudah Dibuka Kepada Pengunjung". Vocket. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Disember 2024. Dicapai pada 22 September 2024.
  13. ^ a b Ed Junaidi (9 Februari 2024). "Malaysia Heritage Studios, produk pelancongan dengan nafas baharu". Akses Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Februari 2024. Dicapai pada 22 September 2024.
  14. ^ a b "Malaysia Heritage Studios in Melaka opened this past weekend". The Vibes. 19 Disember 2022. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Disember 2022. Dicapai pada 22 September 2024.
  15. ^ Azrina Zin (21 Jun 2023). "Melaka: A plethora of rich heritage, aesthetic wonders and action-packed adventures". The Bruneian. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 April 2024. Dicapai pada 22 September 2024.
  16. ^ "Malaysia Heritage Studios Di Melaka Telah Dibuka". Getaran. 19 Disember 2022. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Februari 2023. Dicapai pada 22 September 2024.
  17. ^ a b Diyana Rahip (17 Februari 2024). "Terokai keunikan Malaysia Heritage Studios di Melaka!". Media Variasi. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 April 2024. Dicapai pada 22 September 2024.
  18. ^ "More Ways To Explore". Malaysia Heritage Studios. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 September 2024. Dicapai pada 23 September 2024.
  19. ^ a b Norafiqah Jamal (6 Februari 2024). "TMM2024: Taman warisan ajaib sasar 300,000 pengunjung". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 April 2024. Dicapai pada 23 September 2024.
  20. ^ "Malaysia Heritage Studios". Tourism Melaka. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Mei 2024. Dicapai pada 23 September 2024.
  21. ^ a b "Tawaran masuk percuma: 10 lokasi pelancongan Melaka diserbu". Astro Awani. 20 Februari 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 September 2024. Dicapai pada 21 September 2024.
  22. ^ "Three New Products Introduced Under 'melaka Bila Larut Malam' - Exco". Bernama. 11 Julai 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Oktober 2024. Dicapai pada 2 Oktober 2024.
  23. ^ Mohd Faiz Abu Hasan (2 September 2024). "MELAKA BILA LARUT MALAM 31 OGOS GAMIT LEBIH 10,000 PENGUNJUNG". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 September 2024. Dicapai pada 2 Oktober 2024.
  24. ^ Norafiqah Jamal (4 Ogos 2024). "Tema Hikayat Hang Tuah 'sajian' MHS buat pengunjung Melaka Bila Larut Malam". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Ogos 2024. Dicapai pada 2 Oktober 2024.


Lihat juga

[sunting | sunting sumber]