Bat (dewi)
Bat ialah dewi lembu dalam mitologi Mesir yang mempunyai wajah manusia dengan telinga dan tanduk lembu atau sebagai seorang wanita. Bukti Bat dipuja terdapat dalam catatan terawal amalan agama Mesir purba. Dengan kedatangan zaman Kerajaan Pertengahan, selepas Mesir Hilir dan Hulu bersatu, identiti dan sifatnya digabungkan dengan dewi Hathor,[1] dewi serupa yang dipuja di nomos. Gambaran Bat kekal dalam sejarah Mesir purba pada sistrum, alat muzik suci selalu digunakan dalam upacara keagamaan.
Pemujaan
[sunting | sunting sumber]Bat mula dipuja sejak awal zaman Mesir purba dan mungkin berasal daripada budaya gembala lembu dalam zaman Paleolitik Akhir. Bat ialah dewi utama bandar Seshesh, juga dikenali sebagai Hu atau Diospolis Parva, nomos ke-7 Mesir Hulu.
Nama
[sunting | sunting sumber]Nama Bat mungkin berhubung kait dengan perkataan ba dengan akhiran feminin 't'.[2] Ba seseorang lebih kurang sama dengan personaliti atau keperibadian seseorang dan sering diterjemahkan sebagai 'jiwa'.
Gambaran dalam budaya Mesir purba
[sunting | sunting sumber]Walaupun jarang sekali Bat jelas digambarkan dalam lukisan atau arca, beberapa artifak terkenal (seperti bahagian atas Palet Narmer) menggambarkan Bat dalam bentuk lembu. Dalam artifak lain, dia digambarkan sebagai lembu langit yang dikelilingi bintang, atau sebagai wanita. Lazimnya, Bat digambarkan pada azimat, dengan wajah manusia tetapi dengan anggota lembu, seperti telinga lembu dan tanduk melengkung ke dalam, seperti jenis lembu yang mula-mula digembala oleh orang Mesir.
Bat menjadi amat terkaitan dengan sistrum dan pusat pemujaannya dikenali sebagai "Rumah Agam Sistrum".[3] Sistrum ialah alat muzik berbentuk ankh,[4] dan salah satu alat muzik suci yang paling kerap digunakan di kuil-kuil Mesir purba. Sesetengah alat muzik mempunyai gambaran Bat, dengan kepala dan lehernya sebagai pemegang dan tapaknya dan dengan orok-oroknya diletakkan di antara tanduknya. Gambarnya dibubuh pada kedua-dua sisi, dengan dua muka, seperti yang disebutkan dalam Teks Piramid:
- Akulah Pujian; Akulah Mulia; Aku Bat Sang Berwajah Dua; Akulah Yang Diselamatkan, dan Aku telah menyelamatkan diriku dari segala kejahatan.[5]
Hubungan dengan Hathor
[sunting | sunting sumber]Gambaran Bat sebagai dewi lembu sangat serupa dengan Hathor, dewi dari nomos lain. Dalam dua dimensi, kedua-dua dewi sering digambarkan memandang orang yang melihat dan bukan ke sisi seperti lukisan lazim Mesir purba. Perbezaan ketara antara mereka ialah tanduk Bat melengkung ke dalam dan tanduk Hathor melengkung ke luar sedikit. Ada kemungkinan ini mengikut baka lembu yang berbeza yang digembala dari zaman yang berbeza.
Pusat pemujaan Hathor dahulu berada di nomos ke-6 Mesir Hulu, bersebelahan dengan nomos ke-7 di mana Bat ialah dewi lembu, mungkin menunjukkan bahawa mereka pernah menjadi dewi yang sama sebelum Mesir menjadi kerajaan berdinasti. Menjelang Kerajaan Pertengahan, pemujaan Hathor menyerap kultus Bat serupa dengan penggabungan lain dalam panteon Mesir.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Wilkinson, Richard H. The Complete Gods and Goddesses of Ancient Egypt, p.172 Thames & Hudson. 2003. ISBN 0-500-05120-8
- ^ Barbara Lesko Great Goddesses, 100, p. 81
- ^ Hart, George. The Routledge Dictionary of Egyptian Gods and Goddesses, p. 47 2nd Edition Routledge. 2005. ISBN 0-415-34495-6
- ^ Wilkinson, Richard. H. Reading Egyptian Artp. 213 Thames and Hudson 1992. ISBN 0-500-27751-6
- ^ R. O. Faulkner, The Ancient Egyptian Pyramid Texts, Oxford 1969, p. 181, Utterance 506