Pergi ke kandungan

Buddha Zamrud

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Buddha Zamrud

Buddha Zamrud (Bahasa Thai: พระแก้วมรกต - Phra Kaew Morakot, atau nama rasminya พระพุทธมหามณีรัตนปฏิมากร - Phra Phuttha Maha Mani Ratana Patimakorn) adalah warisan Kerajaan Thailand dan merupakan sebuah patung Buddha. Ia diperbuat daripada jed hijau (bukan zamrud), dipakaikan pakaian emas dan mempunyai ketinggian kira-kira 45 cm. Ia disimpan di Wat Buddha Zamrud (Wat Phra Kaew) yang merupakan sebahagian dari pekarangan Istana Perama di Bangkok.

Menurut lagenda, berhala Buddha Zamrud dihasilkan pada tahun 43 SM oleh Nagasena di bandar Pataliputra (hari ini Patna).

Buddha Zamrud pada 1873

Setelah berada di Pataliputra selama tiga ratus tahun, ia dipindahkan ke Sri Lanka. Pada tahun 457, Raja Anuruth dari Burma telah menghantar utusan ke Ceylon untuk meminta Kitab Suci Buddha dan Buddha Zamrud untuk menguatkan penguasaan agama Buddha di negaranya. Permintaan tersebut diterima. Walau bagaimanapun, semasa perjalanan pulang, ribut telah melanda dan kapal yang membawa para utusan tersebut tersesat dan akhirnya tiba di Kemboja. Apabila orang Thai menawan Angkor Wat, berhala Buddha Zamrud dibawa ke Ayutthaya, Kamphaeng Phet, Laos dan akhirnya Chiang Rai, di mana pemerintah bandar tersebut menyembunyikannya.

Akan tetapi, segelintir sejarawan seni menyatakan bahawa seni Buddha Zamrud adalah berdasarkan gaya Chiang Saen yang wujud pada abad ke-15 M. Hal ini bermaksud, patung tersebut berkemungkinan dihasilkan di Lannathai.

Pandangan Dekat Buddha Zamrud

Sejarah telah menyatakan bahawa patung berhala tersebut berasal dari Kerajaan Lannathai pada tahun 1434. Terdapat suatu kisah di mana, wat Chiang Rai telah dipanah petir dan patung Buddha ditemui pada tempat panahan petir tersebut. Raja Lannathai pada masa itu, Raja Sam Fang Kaen mahu meletakkan patung Buddha tersebut di Chiang Mai. Akan tetapi, semasa perarakan membawa patung Buddha itu berlangsung, gajah yang membawanya tidak membawa patung tersebut ke Chiang Mai, sebaliknya ke Lampang. Peristiwa ini dianggap sebagai suatu petanda dan ianya kekal di Lampang sehingga tahun 1468. Akhirnya ia dibawa ke Chiang Mai dan disimpan di wat Chedi Luang.

Buddha Zamrud kekal di Chiang Mai sehingga tahun 1552, di mana ianya dibawa ke Luang Prabang dan kemudian ke kerajaan Lao Lan Xang. Beberapa tahun sebelum itu, putera mahkota Lan Xang, Setthathirath, telah dijemput untuk menduduki takhta kerajaan Lannathai yang kosong. Walau bagaimanapun, baginda juga menjadi Raja Lan Xang setelah ayahandanya, Photisarath mangkat. Baginda kembali ke Lan Xang dengan membawa patung Buddha tersebut bersamanya. Pada 1564, pusat pemerintahan Lan Xang berpindah ke Vientiane, dan patung tersebut turut dipindahkan ke sana.

Pada 1779, Jeneral Chao Phraya Chakri telah menawan Vientiane dan membawa pulang Buddha Zamrud dengannya ke Thonburi. Setelah dia menjadi Raja Rama I Thailand, baginda meletakkan patung tersebut ke Wat Phra Kaew dengan upacara gilang-gemilang pada 22 Mac 1784. Ia sekarang diletakkan di dalam bangunan utama wat tersebut yang dipanggil Ubosoth.

Pakaian Emas

[sunting | sunting sumber]

Buddha Zamrud diperbuat daripada batu jed dan ia dihiaskan dengan pakaian yang diperbuat dari emas. Terdapat tiga set pakaian emas, yang dipakaikan oleh Raja Thailand di dalam sebuah upacara yang dilangsungkan pada setiap penukaran musim; iaitu pada bulan ke-4, ke-8 dan ke-12 menurut kalendar qamari Thai. Ketiga-tiga set pakaian tersebut mewakili musim panas, tengkujuh dan sejuk Thailand. Dua set pakaian emas yang tidak digunakan dipamerkan di Astaka Alat-alat Kebesaran, Hiasan Diraja dan Syiling Thai untuk tatapan umum.

Gambar-gambar

[sunting | sunting sumber]
Buddha Zamrud berpakaian musim tengkujuh
Hiasan Bahagian Luar Ubosoth

Templat:Agama Buddha