Pergi ke kandungan

Bunga matahari

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Bunga matahari
Pengelasan saintifik
Alam:
(tanpa pangkat):
(tanpa pangkat):
(tanpa pangkat):
Order:
Keluarga:
Genus:
Spesies:
H. annuus
Nama binomial
Helianthus annuus
Sinonim[1]
Sinonimi
  • Helianthus aridus Rydb.
  • Helianthus erythrocarpus Bartl.
  • Helianthus indicus L.
  • Helianthus jaegeri Heiser
  • Helianthus lenticularis Douglas
  • Helianthus macrocarpus DC. & A.DC.
  • Helianthus multiflorus Hook.
  • Helianthus ovatus Lehm.
  • Helianthus platycephalus Cass.
  • Helianthus tubaeformis Nutt.

Bunga matahari (Jawi: بوڠا ماتهاري , nama botani: Helianthus annuus) ialah sejenis pokok semusim dalam genus Helianthus keluarga Asteraceae[1][2] yang berasal dari benua Amerika dengan kepala bunga yang berkuntum besar.

Biji benihnya dimakan sebagai makanan ringan atau ditekan menjadi minyak masak. Pokok spesies ini juga ditanam sebagai hiasan.

Bunga matahari bunga kebangsaan negara Ukraine.[3]

Pokok dan daun

[sunting | sunting sumber]
Sebatang pokok bunga matahari setinggi 2 meter.

Pokok tumbuhan ini jenis herba. Batangnya kasar dan berbulu, ia biasa tumbuh setinggi 3 hingga 6 meter. Bunga matahari yang paling tinggi tumbuh sehingga 9.17 m.[4]

Sehelai daun pokok berukuran 12–26 sentimeter panjang dan 101–120 sm lebar. Daun batang pokok berbentuk bulat,[5] daun-daun paling besar berdekatan pangkal batang yang berbentuk lebar seperti jantung. Helainya mempunyai tepi bergerigi dan permukaan yang kasar. Daun-daun pokok disusun berselang-seli.[2]:90[6]

Pokok spesies berbunga dari bulan Jun hingga bulan September.[6]:379 Bunga matahari liar menghasilkan banyak ranting kuntum di habitatnya. Walau bagaimanapun, bunga matahari yang ditanam di ladang sering mempunyai satu kuntum bunga sahaja atas batangnya.

Kuntum bunga yang muncul terdiri daripada sejambak anak bunga ceper berkelopak lima dan berwarna perang kemerahan. Jambak ini berbentuk cakera dengan garis pusat 7.5 hingga 12.5 sentimeter dan dikelilingi anak-anak bunga ruji yang besar; anak-anak bunga ini tidak setangkup, mandul dan tercantum kelopaknya menyerupai ranggi berwarna kuning emas,[6]:378[2]:90 jingga atau merah. Cakera kuntum bunga matahari boleh mencapai garis pusat selebar 30 sm dengan benih-benih yang cukup besar.

Buahnya besar 1–2 sm panjang dan berbentuk bujur, kulitnya berbelang hitam dan putih.

Biji dalam buahnya boleh dikupas dan dimakan terus atau dipanggang dan dibubuh garam. Isinya boleh dikisar menjadi tepung yang digunakan dalam masakan atau ditekan menjadi minyak. Jambak bunga yang muda boleh dimakan seperti sayur yang boleh dibuat lauk.[2]:92

Bunga matahari ditanam di tapak-tapak loji kuasa nuklear Chornobyl dan Fukushima I untuk membuang sisa toksik dan radioaktif tanah.[7][8][9][3]

  1. ^ a b "Helianthus annuus L. Sp. Pl. : 904 (1753)". World Flora Online. World Flora Consortium. 2022. Dicapai pada 30 November 2022.
  2. ^ a b c d Hean Chooi Ong (2006). Tanaman hiasan: khasiat makanan & ubatan. Kuala Lumpur, Malaysia: Utusan Publications. m/s. 33, 90–93. ISBN 9789676118929.
  3. ^ a b Mufarech, Antonia (31 Mac 2022). "Why Sunflowers Are Ukraine's National Flower". Smithsonian. Institusi Smithson. Dicapai pada 8 Februari 2023.
  4. ^ "Tallest Sunflower". Rekod Dunia Guinness. Guinness World Records Limited. Dicapai pada 30 November 2022.
  5. ^ Tumbuhan Renek Berbunga. Seri Kembangan, Selangor, Malaysia: PCT Sdn Bhd. 2002. m/s. 22. ISBN 983-2316-97-9.
  6. ^ a b c Spellenberg, Richard (2001) [1979]. National Audubon Society Field Guide to North American Wildflowers: Western Region (ed. disemak). Knopf. m/s. 378–379. ISBN 978-0-375-40233-3.
  7. ^ Adler, Tina (20 Julai 1996). "Botanical cleanup crews: using plants to tackle polluted water and soil". Science News. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Julai 2011. Dicapai pada 3 September 2010.
  8. ^ "Sunflowers to clean radioactive soil in Japan". AFP. June 24, 2011. Dicapai pada 25 Jun 2011 – melalui Yahoo News.[pautan mati kekal]
  9. ^ Antoni Slodkowski; Yuriko Nakao (19 August 2011). "Sunflowers melt Fukushima's nuclear "snow"". Reuters. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Januari 2012. Dicapai pada 22 Januari 2012.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]