Mahabharata
Mahabharata (Sanskrit: महाभारतम्, rumi: Mahābhāratam ) merupakan salah satu daripada dua epik utama berbahasa Sanskrit dari India purba, epik yang lain ialah Ramayana. Mahabharata meriwayatkan Peperangan Kurukshetra yang berlaku di antara putera-putera Pandava dan Kaurava. Mahakarya ini juga mengandungi bahan-bahan falsafah, agama dan kerohanian. Mahabharata juga mengandungi kitab suci orang Hindu yang utama iaitu Bhagavad Gita. Mahabharata yang disanjung tinggi sebagai Pañcama Veda (Veda ke-5) merupakan sebuah ensiklopedia agama dan kebudayaan agama Hindu.
Mahabharata dikatakan telah ditulis oleh Vyasa. Sehingga kini, masih terdapat pelbagai pendapat tentang sejarah dan perkembangan mahakarya ini dan para sejarawan dan cendekiawan Hindu dan Barat masih mengemukakan pelbagai teori tentang tarikhnya. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa Mahabharata ialah epik terbesar daripada India purba dan merupakan 'puisi terpanjang yang pernah ditulis'. Versinya yang paling panjang mengandungi lebih 100,000 shloka atau lebih 200,000 ayat-ayat. Keseluruhannya, Mahabharata mengandungi 1.8 juta perkataan, iaitu sepuluh kali ganda lebih panjang daripada gabungan Ilias dan Odýsseia, atau empat kali ganda saiz Ramayana. W.J. Johnson membandingkan kepentingan Mahabharata dalam konteks tamadun dunia dengan Kitab Injil, karya-karya Shakespeare, karya-karya Homeros, drama Yunani, atau Al-Quran.[1]
Sebahagian siri mengenai |
Agama Hindu |
---|
Asal-Usul
[sunting | sunting sumber]Menurut tradisi, mahakarya ini ditulis oleh Veda Vyasa (juga dikenali sebagai Krishna Dvaipayana). Vyasa seusia dengan Bhishma, dan mempunyai pengetahuan terus tentang kebanyakan peristiwa dalam epik ini. Teks asal yang ditulis oleh Vyasa dikenali sebagai "Jaya" yang meraikan kemenangan para Pandava. Menurut para cendikiawan, kemungkinan "Jaya" ialah karya yang ringkas dengan 8,800 aya-ayat. Karya "Jaya" kemudiannya disemak semula dan ditambah kepada 24,000 ayat-ayat menjadi "Bharata". Vaisampayana, seorang pengikut Vyasa telah membacakan "Bharata" semasa upacara Sarpayaga (korban ular) yang dilakukan oleh Janamejaya, cicit Arjuna. Karya terakhir yang wujud pada masa ini telah dihasilkan oleh Suta Ugrasravas, anak lelaki Lomaharsana (juga dieja sebagai 'Romaharsana'). Suta Ugrasravas telah menyanyikan karyanya semasa upacara Sattrayaga (sejenis upacara korban yang berpanjangan selama beberapa tahun) yang dilakukan oleh Saunaka di hutan Naimisa. Karya inilah yang mendapat nama "Mahabharata" disebabkan saiznya yang besar (maha=besar) dan oleh kerana ia meriwayatkan peristiwa-peristiwa daripada keturunan maharaja Bharata. Edisi Mahabharata ini juga dikenali sebagai 'Satasahasri Samhita', iaitu koleksi 100,000 ayat-ayat, meskipun jumlahnya mungkin sedikit kurang.[2]
Beberapa cendikiawan telah cuba untuk membuktikan bahawa epik ini telah dihasilkan dalam tempoh lapan abad (daripada 400 S.M hingga 400 Masih).[3]
Jika sistem Yuga, orang Hindu diambil kira, menurut tradisi lisan, Peperangan Mahabharata telah berlaku pada tahun 3139 S.M. Karya-karya Megasthanes (312 S.M.) dan juga kiraan astronomi menyetujui tarikh ini. Namun, ahli-ahli sejarah moden, telah menolak tarikh ini dan memberikan tarikh 1424 S.M. atau 950 S.M.[4]
Ensiklopedia Dharma
[sunting | sunting sumber]Mahabharata yang disanjung tinggi sebagai Pañcama Veda (Veda ke-5) merupakan sebuah ensiklopedia agama dan kebudayaan Hindu.[5] Suta Ugrasravas tidak bercakap besar apabila mengatakan bahawa 'apa-apa sahaja, di mana-mana pun adalah gemaan apa yang terkandung di sini' dan 'apa yang tiada di sini, tiada di mana-manapun'. Setiap aspek Dharma - sama ada Rāja-Dharma (kenegaraan), āpad-dharma (perbuatan yang dibenarkan dalam masa kritikal), dāna-dharma (kemurahan), atau moksha-dharma (tindakan untuk mencapai kebebasan) telah dibincangkan di sini. Sebenarnya, matlamat utama Mahabharata ialah untuk menghuraikan Dharma daripada segala aspek.
Selain Bhagavad Gita, Mahabharata juga mengandungi Anugita, Vishnu Sahasranama dan Siva Sahasranama yang telah menjadi sumber inspirasi kepada ahli-ahli falsafah dan ahli-ahli agama sejak beribu-ribu tahun. Selain menjadi salah satu teks utama mazhab Vaishnava, kitab ini juga berusaha untuk mendamaikan persengketaan antara mazhab-mazhab berlainan. Usaha untuk menegakkan sistem brahmin berdasarkan kepada nilai-nilai murni juga dapat dilihat di sini.
Ringkasan Lapan Belas Parva
[sunting | sunting sumber]Mahakarya ini dibahagikan kepada 18 bab atau Parva seperti berikut:
Parva | Tajuk | Sub-parva | Kandungan |
---|---|---|---|
1 | Adi Parva | 1–19 | Bab ini memberikan pengenalan tentang bagaimana Mahabharata diceritakan oleh Sauti kepada para Rishi yang telah berkumpul di Naimisharanya selepas Vaishampayana menceritakannya dalam upacara korban ular Janamejaya di Takshasila. Sejarah dan geneologi keluarga Bharata dan Bhrigu sehingga ke kisah kelahiran dan kehidupan awal putera-putera Kuru juga diberikan. |
2 | Sabha Parva | 20–28 | Maya Danava membina sebuah istana dan dewan persidangan di Indraprastha. Kehidupan Panadava di istana, Upacara Rajasuya, permainan dadu, peristiwa pencabulan Draupadi, dan hukuman pembuangan negeri. |
3 | Vana Parva atau Aranyaka-parva, Aranya-parva | 29–44 | Pandava menjalani dua belas tahun pembuangan di hutan (aranya) selepas dikalahkan dalam perjudian. |
4 | Virata Parva | 45–48 | Tempoh satu tahun dalam samaran di istana Virata. |
5 | Udyoga Parva | 49–59 | Persediaan untuk peperangan dan usaha-usaha pendamaian antara kedua-dua pihak Kaurava dan Pandava yang akhirnya gagal (udyoga bermaksud usaha untuk bekerja). |
6 | Bhishma Parva | 60–64 | Bahagian pertama peperangan. Bhishma menjadi komando pasukan Kaurava dan kejatuhan di medan pertempuran. (Merangkumi Bhagavad Gita dalam bab 25-42.) |
7 | Drona Parva | 65–72 | Peperangan berterusan di bawah Drona sebagai komando. Ini ialah buku utama tentang peperangan ini. Kebanyakan wira-wira hebat pada kedua-dua pihak telah terbunuh pada akhir bab ini. |
8 | Karna Parva | 73 | Peperangan berterusan di bawah pimpinan Karna. |
9 | Shalya Parva | 74–77 | Hari terakhir peperangan. Shalya menjadi komando. Lawatan ibadah Balarama ke tebing sungai Saraswati dan pertempuran antara Bhima dan Duryodhana, sehingga kekalahan Duryodhana diberikan. |
10 | Sauptika Parva | 78–80 | Ashvattama, Kripa dan Kritavarma membunuh semua ahli keluarga Pandava yang masih hidup. Hanya 7 orang pada pihak Pandava dan 3 orang pada pihak Kaurava yang terselamat dalam Peperangan. |
11 | Stri Parva | 81–85 | Gandhari dan wanita-wanitra (stri) Kaurava dan Pandava menangis atas kematian para wira. Gandhari menyumpah Sri Krishna kerana kematian dan kemusnahan seluruh keturunan Kaurava. |
12 | Shanti Parva | 86–88 | Upacara penabalan Yudhishthira sebagai Maharaja Hastinapura, dan arahan daripada Bhisma tentang masyarakat, ekonomi dan politik. Ini ialah bab terpanjang Mahabharata. Menurut Kisari Mohan Ganguli, ini ialah suatu interpolasi baru. |
13 | Anushasana Parva | 89–90 | Arahan terakhir (anushasana) daripada Bhishma. |
14 | Ashvamedhika Parva | 91–92 | Upacara Ashvamedha (korban kuda ) yang dilakukan oleh Yudhishthira. Arjuna menawan dunia. Sri Krishna mengajar Anugita kepada Arjuna. |
15 | Ashramavasika Parva | 93–95 | Kemangkatan Dhritarashtra, Gandhari dan Kunti dalam kebakaran hutan semasa berada di Himalayas. Kematian Vidura dan pemergian Sanjaya ke Himalaya. |
16 | Mausala Parva | 96 | Sumpah Gandhari menjadi kenyataan dan menyebabkan kemusnahan Yadava. |
17 | Mahaprasthanika Parva | 97 | Perjalanan Yudhishthira, dan saudara-saudaranya serta Draupadi ke syurga. |
18 | Svargarohana Parva | 98 | Ujian terakhir Yudhishthira dan ketibaan para Pandava ke syurga (svarga). |
khila | Harivamsa Parva | 99–100 | Ini merupakan addendum kepada Mahabharata dan merangkumi riwayat Sri Krishna. |
Teks Hindu |
Śruti
|
Sinopsis
[sunting | sunting sumber]Cerita utama dalam mahakarya ini adalah mengenai suatu rebutan kuasa untuk takhta kerajaan Hastinapura. Dinasti Kuru telah memerintah Hastinapura. Rebutan kuasa bermula apabila dinasti ini berpecah dua kepada keluarga Kaurava dan keluarga Pandava. Putera Duryodhana daripada keluarga Kaurava dan putera Yudhishthira daripada keluarga Pandava masing-masing ingin menjadi raja dinasti ini.
Persengketaan ini berakhir dengan kejayaan putera-putera Pandava di medan peperangan Kurukshetra. Pertempuran ini menyebabkan beberapa konflik rumit antara saudara-mara, sahabat-handai, kepentingan keluarga, tanggungjawab bertentangan dengan kebenaran dan kebaikan dan sebagainya.
Mahabharata berakhir dengan kematian Sri Krishna, kejatuhan dinastinya dan pemergian para Pandava ke syurga. Ini juga menandakan permulaan zaman Kali (zaman keempat dan terakhir menurut agama Hindu), di mana nilai-nilai murni dan kebaikan merosot, dan umat manusia terjerumus ke dalam kejahatan, dosa dan kemusnahan.
Generasi Lama
[sunting | sunting sumber]Raja Janamejaya berasal daripada keturunan Santanu, pemerintah Hastinapura. Santanu telah berkahwin dengan Dewi Ganga dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Devavrata (kemudiannya dikenali sebagai Bhishma). Apabila Dewi Ganga meninggalkannya, Santanu hidup bersendirian. Beberapa tahun kemudian, ketika sedang memburu, Santanu bertemu dengan Satyavati, puteri seorang ketua nelayan. Santanu jatuh hati padanya dan memintanya untuk berkahwin. Bapa Satyavati enggan untuk merestui perkahwinan ini kecuali Santanu berjanji bahawa anak yang bakal lahir kepada Satyavati menjadi raja Hastinapura. Bagi menyelesaikan dilema bapanya, Devavrata bersumpah bahawa dia melepaskan haknya terhadap takhta Hastinapura. Oleh kerana, bapa Satyavati masih ragu-ragu bahawa anak-anak Devavrata akan menuntut hak mereka, Devavrata bersumpah untuk kekal bujang selama-lamanya. Demikian, Devavratra menerima nama 'Bhishma' ('Yang Menakutkan') kerana sumpahnya demi kegembiraan bapanya.
Santanu berkahwin dengan Satyavati. Mereka mempunyai dua orang putera bernama, Chitrāngada dan Vichitravirya. Selepas kemangkatan Santanu, Chitrangada menjadi raja tetapi baginda mempunyai ajal yang pendek. Selepas kemangkatan Chitrangada, Vichitravirya pula menjadi raja Hastinapura. Ketika ini, Raja Kasi mengumumkan swayamvara (majlis pemilikan suami) bagi tiga orang puteri baginda, Amba, Ambika dan Ambalika. Bhishma mengalahkan raja-raja yang telah datang ke svayamvara, menculik ketiga-tiga puteri ini dan melarikan mereka ke Hastinapura untuk dikahwinkan dengan Vichitravirya. Ambika dan Ambalika bersetuju untuk berkahwin dengan Vichitravirya. Puteri Amba pula enggan untuk berkahwin kerana cintanya untuk raja Salva. Bhishma membenarkan Amba untuk pulang kepada raja Salva. Namun, oleh kerana baginda telah dikalahkan oleh Bhishma, raja Salva enggan untuk menerima Amba. Dengan malu, Amba kembali kepada Bhishma dan mendesaknya untuk berkahwin dengannya. Bhishna, teguh dengan sumpahnya untuk hidup membujang, menolak permintaan Amba. Ini menyebabkan Amba marah dan bermusuhan dengan Bhishma. Bagi membalas dendamnya, Amba lahir semula sebagai Shikhandi (atau Shikhandini) kepada raja Drupada dan menyebabkan kekalahan Bhishma dalam peperangan Mahabharata.
Kelahiran Putera-putera Kaurava dan Pandava
[sunting | sunting sumber]Vichitravirya selepas berkahwin dengan puteri-puteri Ambika dan Ambalika, mangkat tanpa zuriat. Bagi menyelamatkan keturunan Kuru daripada pupus, Satyavati mengarahkan anak pertamanya Vyasa untuk melahirkan anak-anak dengan Ambika dan Ambalika. Vyasa, seorang Rishi tua yang amat menggerunkan. Melihatnya, Ambika menutup matanya dalam ketakutan. Oleh itu, puteranya Dhritarashtra lahir tanpa penglihatan. Ambalika pula menjadi pucat melihat Vyasa dan akibatnya, puteranya Pandu juga pucat dan tidak sihat. Oleh kerana, kedua-dua putera yang lahir mempunyai kekurangan fizikal, Satyavati meminta Vyasa untuk seorang lagi putera. Dalam percubaan ketiga ini, Ambika menghantar sidanya sebagai ganti. Anak sida ini, Vidura lahir dengan sihat dan tanpa sebarang kekurangan. Vidura menjadi seorang yang bijaksana dan bertugas sebagai Perdana Menteri kepada Raja Pandu dan Raja Dhritarashtra.
Apabila Pandu dan Dhritarashtra menjadi dewasa, masa untuk penabalan Dhritarashtra sebagai raja Hastinapura tiba. Vidura membantah perlantikan ini kerana menurut sastera politik, seorang buta tidak layak untuk menjadi raja atau pemerintah. Orang buta tidak boleh mengawal atau melindungi rakyatnya. Oleh itu, Pandu menaiki takhta Hastinapura. Pandu berkahwin dengan Devi Kunti dan Madri. Dhritarashtra pula dikahwinkan dengan Gandhari, seorang puteri dari Gandhara. Bagi merasakan penderitaan suaminya yang buta, Gandhari menutup matanya dengan kain untuk selama-lamanya. Abangnya Sakuni, menjadi murka merasakan bahawa adiknya telah dianiya oleh keluarga Kuru. Selepas perkahwinan Gandhari, Sakuni berpindah ke Hastinapura dan menantikan masa untuk membalas dendam.
Sementara itu, Pandu membawa isteri-isterinya untuk memburu. Pada suatu hari, secara tidak sengaja, Pandu melepaskan anak panahnya dan membunuh seekor rusa jantan. Rupa-rupanya rusa itu ialah seorang Rishi bernama Kindama. Sebelum mati, Kindama menyumpah Pandu bahawa baginda juga akan mati ketika melakukan persetubuhan. Dalam keadaan berputus-asa, Pandu meninggalkan kerajaannya untuk tinggal di hutan. Peristiwa ini memberikan peluang kepada Dhritarashtra untuk memerintah kerajaan Hastinapura.
Pada suatu ketika dahulu, Kunti, isteri pertama Pandu telah mendapat suatu mantera daripada Muni Durvasa. Dengan membaca mantera itu, Kunti dapat memanggil dewa-dewa untuk mendapatkan anak. Pandu memujuk Kunti untuk mendapatkan putera untuknya. Kunti memanggil dewa-dewa Dharma, Vayu dan Indra untuk melahirkan tiga orang puteranya - Yudhishthira, Bhima, dan Arjuna. Kemudian, Kunti mengajar mantera itu kepada Madri, dan Madri melahirkan putera kembar Nakula dan Sahadeva dengan bantuan dewa kembar Ashwini. Beberapa tahun kemudian, Pandu meninggal dunia akibat sumpah Kindama. Ketika jasadnya dibakar, Madri sesal kerana menjadi punca kematian Pandu, membunuh diri. Kunti membesarkan kelima-lima putera mereka yang lazimnya dikenali sebagai putera-putera Pandava.
Dhritarashtra dan Gandhari pula mempunyai seratus orang putera dan seorang puteri. Mereka lazimnya dipanggil sebagai putera-putera Kaurava, dan putera sulung bernama Duryodhana. Antara Kaurava yang popular ialah Dushasana, Vikarna dan Sukarna. Sejak kecil lagi, Kaurava bermusuhan dengan Pandava. Permusuhan ini akhirnya mencetuskan peperangan Mahabharata.
Lakshagraha (Rumah Lak)
[sunting | sunting sumber]Selepas kemangkatan Pandu dan Madri, Pandava dan ibu mereka Kunti kembali ke istana Hastinapura. Atas desakan rakyat, Dhritarashtra melantik Yudhishthira sebagai Putera Mahkota. Ini menyebabkan ketidakpuasan dalam kalangan Kaurava. Shakuni, Duryodhana dan Dushasana merancang untuk menghapuskan Pandava. Dengan bantuan seorang arkitek bernama Purochana, mereka membina sebuah istana dengan bahan-bahan yang mudah terbakar seperti lak, dan minyak sapi. Kemudian, mereka menghantar putera-putera Pandava dan Kunti untuk berehat di istana itu. Namun, Pandava mengetahui niat jahat dengan bantuan Vidura. Dengan membina sebuah terowong bawah tanah, mereka berjaya melarikan diri selepas membakar istana itu. Di Hastinapura, semua orang percaya bahawa Pandava dan Kunti telah mati dalam kebakaran.
Perkahwinan Draupadi
[sunting | sunting sumber]Selepas melarikan diri daripada istana lak, lima Pandava dan bonda mereka tinggal dalam samaran orang Brahmin. Ketika ini, mereka mendapat berita tentang swayamvara puteri Draupadi dari Panchala. Lima Pandava menyertai svayamvara itu dan Arjuna menang dalam pertandingan memanah. Seperti biasanya, mereka pulang ke rumah dan mengumumkan kepada ibu mereka bahawa Arjuna telah membawa suatu 'hadiah'. Kunti, tanpa melihat 'hadiah' itu, menyuruh mereka untuk menikmati hadiah itu bersama-sama. Selepas suatu dilema pendek, akhirnya, Draupadi menjadi isteri bersama lima Pandava. Bagi mengelakkan sebarang persengketaan antara mereka, mereka berjanji bahawa apabila Draupadi berada dengan seorang, empat saudara lain tidak akan memasuki biliknya, dan orang yang mengingkari janji ini akan menjalani hukuman.
Indraprastha
[sunting | sunting sumber]Selepas perkahwinan, putera-putera Pandava menerima jemputan untuk pulang ke Hastinapura. Selepas rundingan, Dhritarashtra bersetuju untuk membahagikan kerajaan dan memberikan sebuah kawasan kecil kepada Pandava. Dengan bantuan adik-adiknya, Yudhishthira mendirikan kerajaan baru di Indraprastha. Namun, kedua-dua pihak tidak berpuas hati dengan perpecahan wilayah ini.
Tidak lama kemudian, Arjuna semasa merantau, berkahwin dengan Subhadra, adik Sri Krishna. Yudhisthira ingin mengukuhkan kedudukannya sebagai seorang raja. Dengan nasihat Sri Krishna, Yudhisthira menawan beberapa kerajaan yang membantahnya dan melakukan upacara korban Rajasuya. Seorang raja yang melakukan upacara korban ini akan disanjung sebagai seorang maharaja yang hebat.
Sebelum melakukan upacara Rajasuya, dengan bantuan Maya, arkitek Dewa, lima Pandava membina sebuah istana baru. Duryodhana yang dijemput untuk upacara korban itu berasa dengki dengan keindahan dan kemewahan istana itu.
Perjudian
[sunting | sunting sumber]Shakuni yang sentiasa berdendam dengan Pandava, merancang untuk mengalahkan mereka dalam suatu permainan judi. Shakuni amat bijak dan licik dalam berjudi. Dia mencabar Yudhisthira untuk menaruh semua harta bendanya. Yudhisthira, seperti mabuk, memperjudikan segala hartanya dan akhirnya, empat orang adiknya serta dirinya sendiri. Selepas kehilangan segala-galanya, atas godaan Shakuni, Yudhisthira mempertaruhkan Draupadi dan sekali lagi kalah.
Kaurava meraikan kejayaan mereka dengan mengina lima Pandava. Kemuncak peristiwa ini ialah apabila Dushasana menarik rambut Draupadi dan cuba menanggalkan pakaiannya dalam khalayak ramai. Draupadi selepas gagal mendapatkan bantuan daripada sesiapapun, berdoa kepada Sri Krishna untuk perlindungan. Sri Krishna mendedahkan kesaktian-Nya dengan menjadikan sari Draupadi terus memanjang dan menutupi badan Draupadi.
Melihat kejadian pelik yang berlaku, Dhritarashtra menyedari kesalahan putera-puteranya dan membebaskan lima Pandava, Namun, Duryodhana masih berdegil dan memujuk Dhritarashtra untuk membenarkannya bertarung sekali lagi. Sekali lagi, Yudhishtira kalah dalam perjudian. Akibatnya, lima Pandava dan Draupadi dibuang negeri selama 12 tahun dan pada tahun ke-13, mereka mesti hidup menyamar diri. Sekiranya, mereka dikesan oleh Kaurava, sekali lagi, mereka akan dibuang negeri selama 12 tahun.
Dalam Pembuangan
[sunting | sunting sumber]Lima Pandava dan permaisuri mereka menjalani tiga belas tahun dalam pembuangan. Dalam tempoh ini mereka mengukuhkan sekutu mereka untuk menghadapi konflik pada masa depan. Mereka menyempurnakan tahun ke-13 dengan menyamar diri sebagai orang gaji di istana Virata. Pada akhir tempoh ini, putera Arjuna dan Subhatra, Abhimanyu dikahwinkan dengan Uttara, puteri Virata. Selepas tamat tempoh penyamaran, Pandava menuntut untuk kembali ke Indraprastha, Namun, Duryodhana membantah atas alasan mereka telah ditemui semasa tempoh pembuangan. Selepas beberapa rundingan, akhirnya kedua-dua pihak bersedia untuk bertemu di medan peperangan.
Peperangan di Kurukshetra
[sunting | sunting sumber]Kedua-dua pihak mengumpulkan pasukan tentera mereka. Beberapa kerajaan seperti Panchala, Dwaraka, Kasi, Kekaya, Magadha, Matsya, Chedi, Pandyas,Telinga, Yadus dari Mathura beberapa puak lain seperti Parama Kamboja, bersekutu dengan lima Pandava. Sekutu Kaurava pula terdiri daripada raja-raja Pragjyotisha, Anga, Kekaya, Sindhudesa (termasuk Sindhus, Sauviras dan Sivis), Mahishmati, Avanti di Madhyadesa, Madra, Gandhara, orang Bahlika, Kambojas dan ramai lagi. Tentera Kaurava mempunyai 11 pasukan tentera sementara Pandava pula mempunyai 7 pasukan sahaja. Sebelum peperangan bermula, Balarama, abang Sri Krishna enggan untuk berpihak kepada sesiapa pun dan bertolak untuk lawatan ibadah. Sri Krishna pula enggan untuk berperang tetapi bersetuju untuk menjadi pemandu pedati Arjuna.
Pada saat-saat akhir sebelum peperangan bermula, Arjuna menjadi lemah dan enggan untuk menentang saudara-maranya termasuk Bhishma dan gurunya Drona. Bagi meningkatkan semangat Arjuna, Sri Krishna memberinya nasihat. Bahagian ini ialah Bhagavad Gita.
Pada hari ke-18, pasukan Pandava memenangi peperangan itu. Semua seratus Kaurava mati dalam pertempuran. Hanya lima Pandava, Satyaki, Kripa, Ashwatthama, Kritavarma, Yuyutsu dan Sri Krishna yang terselamat.
Kesudahan Pandava
[sunting | sunting sumber]Selepas 'menyaksikan' kemusnahan semua putera-puteranya, Gandhari menyumbah Sri Krishna untuk menyaksikan kemusnahan keluarganya. Gandhari menuduh bahawa Sri Krishna, mampu menghentikan peperangan itu, tetapi gagal melakukannya. Dengan tenang, Sri Krishna menerima sumpah itu yang membawa padahnya tiga puluh enam tahun kemudian.
Putera-putera Pandava memerintah kerajaan Hastinapura selama 36 tahun. Selepas kematian Sri Krishna, mereka menabalkan Parikshit, putera Abhimanyu dan Subhdra sebagai raja. Dengan memakai kain kulit, mereka bertolak ke Himalaya. Dalam perjalanan akhir ini, mereka ditemani oleh seekor anjing jalanan. Seorang demi seorang, empat orang Pandava dan Draupadi jatuh ke bawah. Akhirnya, Yudhisthira meneruskan perjalanan dengan anjing itu. Apabila kenderaan syurga tiba untuk membawanya ke syurga, Yudhisthira enggan untuk pergi ke syurga tanpa anjing yang setia itu. Anjing itu bertukar rupa. Dewa Yama telah mengambil rupa anjing untuk menguji Yudhisthira dan membawanya ke syurga.
Seterusnya, Karna, lima Pandava dan putera-putera bersatu semula di syurga.
Di Hastinapura, Parikshit memerintah selama beberapa tahun dan akhirnya mangkat dipatuk ular. Puteranya, Janamejaya, sebagai membalas dendam ke atas semua ular, melakukan upacara korban ular (Sarpasattra). Dalam upacara korban ini, riwayat nenek moyangnya iaitu Mahabharata telah diceritakan.
Pengaruh di Luar Benua India
[sunting | sunting sumber]Terdapat pelbagai bukti kukuh bahawa Mahabharata telah menjelajah dari luar benua India, terutamanya ke Asia Tenggara. Peristiwa-peristiwa daripada epik ini telah diukir pada Angkor Wat dan Angkor Tham di Kampuchia (kini Kambodia).
Rujukan
[sunting | sunting sumber]Bacaan lanjut
[sunting | sunting sumber]- S Pendit, Nyoman (2003), Mahabharata, PT Gramedia Pustaka Utama, ISBN 979-22-0352-4.
- Haryanto, S. (1988), Pratiwimba Adiluhung, sejarah dan perkembangan wayang., Jakarta: Penerbit Djambatan
- Zoetmulder P.J. (1983), Kalangwan, sastra Jawa Kuno selayang pandang, Penerbit Djambatan
- Teh Gallop, Annabel (16 September 2015). "The Mahabharata in Malay manuscripts". Asian and African Studies. The British Library.