Pergi ke kandungan

Mata

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Mata manusia dengan iris berwarna perang muda

Mata (Jawi: مات) merupakan organ yang telah terbentuk untuk mengesan cahaya. Mata yang paling ringkas hanya berfungsi mengesan sama ada keadaan sekeliling terang atau gelap. Mata yang lebih rumit berfungsi untuk memberikan deria penglihatan.

Rajah mata manusia. Bukan semua mata haiwan sama dengan mata manusia.

Jenis mata

[sunting | sunting sumber]

Mata kumpuan terdapat di kalangan artropod (serangga dan yang seumpamanya), dan terdiri daripada banyak sudut yang memberikan gambaran berpiksel (bukannya gambar berganda seperti yang sering diperkatakan).

Sesetengah haiwan pula mempunyai oselus (mata ringkas atau titik mata yang terdapat pada haiwan peringkat rendah). Contohnya mata siput cuma dapat membezakan adanya cahaya atau tidak (siang dan malam), tetapi tidak dapat melihat apakah objek yang ada di hadapannya.

Dalam kebanyakan vertebrata dan sebahagian moluska mata bertindak dengan memancarkan imej ke atas retina yang sensitif kepada cahaya, di mana cahaya dikesan dan dihantar ke otak melalui saraf optik. Mata kebiasaannya berbentuk hampir sfera, berisi bahan seperti gel optik jernih yang dikenali sebagai gelemaca, dengan kanta fokus dan otot yang dikenali sebagai iris mata yang mengawal kadar cahaya yang masuk. Iris mata ini mengawal bukaan anak mata (pupil), iaitu bulatan hitam di tengah-tengah bahagian berwarna di dalam mata.

A - Gelemaca, B - Kanta, C - Kornea, D - Pupil, E - Iris, F - Sklera, G - Saraf optik, H - Retina

Struktur mata manusia bergantung kepada kebolehannya menumpukan cahaya kepada retina. Setiap komponen yang dilalui cahaya adalah lut sinar untuk mengurangkan kemalapan cahaya. Kornea dan kanta akan menumpukan cahaya yang masuk ke atas retina, yang mengaktifkan suatu tindak balas kimia dan menghasilkan isyarat yang untuk dihantar ke otak.

Cahaya yang masuk dari luar akan melepasi kornea dan melalui gelemair sebelum sampai ke kanta. Gelemair membantu mengekalkan bentuk cembung kornea dan melembapkannya. Iris (yang berwarna) terletak di depan kanta mata mengawal bukaan pupil. Seterusnya cahaya itu akan melalui gelemaca sebelum sampai ke lekuk fovea di retina. Di sinilah terletak banyak sel-sel yang sensitif kepada cahaya.

Cahaya dari objek jauh dan cahaya dari objek dekat terfokus.

Supaya cahaya boleh ditumpukan, cahaya mesti dibiaskan. Kadar biasan bergantung kepada jarak objek yang dilihat. Objek jauh memerlukan kurang biasan cahaya daripada objek dekat. Kebanyakan biasan berlaku pada kornea yang mempunyai lengkongan kekal. Biasan lain yang diperlukan berlaku di kanta. Kanta boleh ditarik leper oleh otot, yang membetulkan kuasa kanta. Apabila seseorang berumur, dia akan hilang keupayaan untuk membetulkan tumpuan. Keadaan ini dikenali sebagai presbyopia.

Bahagian mata

[sunting | sunting sumber]
Mata manusia dikatakan tingkap kepada roh.

Di sekeliling mata:

  • Kening: Membantu menjaga mata dari dimasuki air (terutamanya hujan)
  • Kelopak mata: Melembapkan mata dan menjaganya daripada dimasuki habuk
  • Bulu mata: Menjaga mata daripada dimasuki habuk

Masalah mata

[sunting | sunting sumber]

Hubungan dengan manusia

[sunting | sunting sumber]

Dalam masyarakat penutur bahasa Austronesia termasuk bahasa Melayu, "mata" (turunan kata akar Proto-Austronesia *maCa[1]) dilanjutkan maksudnya dengan penungkapan berkaitan benda yang bertitik tumpu atau memusat (mata belanak, matahari, mata air), bernilai (matawang) mahupun suatu hujung bilah alat yang tajam (mata pedang, mata pisau).[2]:323-324[3]

  1. ^ Blust, Robert; Trussel, Stephen (2010). "*maCa: eye, focal point, center or most prominent part". Austronesian Comparative Dictionary. Max Planck Institute for Evolutionary Anthropology. Dicapai pada 17 November 2022.
  2. ^ Blust, Robert (2013). "5: The lexicon". The Austronesian languages (ed. dikemaskini). Canberra, Australia: Universiti Nasional Australia. m/s. 277–354. ISBN 9780858836020.
  3. ^ Lihat:
    • "mata". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
    • "mata". Kamus Besar Bahasa Indonesia (ed. ke-3). Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa Indonesia. 2016.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]