Pergi ke kandungan

Amelina

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Amelina
Amelina pada September 2018.
Kelahiran
Norazlina binti Amir Sharipuddin

(1974-08-04) 4 Ogos 1974 (umur 50)
Nama lainAlin, Kak Long
PendidikanSijil Pelajaran Malaysia (SPM)
PekerjaanPenyanyi, pelakon
Tahun aktif1994–1999, 2014–kini
PasanganReduan Mahmood (k. 1999; c. 2016)
Anak-anak6
Kerjaya muzik
Genre
InstrumenVokal
Syarikat rakaman
Warner Music Malaysia (1994-1999)
Pengkarya berkait

Norazlina Amir Sharipuddin atau lebih dikenali sebagai Amelina (lahir 4 Ogos 1974) ialah seorang penyanyi wanita Malaysia yang terkenal pada era 1990-an.[1][2] Beliau sinonim dengan irama Dangdut yang disampaikan secara pop kontemporari sehingga digelar 'Ratu Dangdut Malaysia' ekoran kejayaan dan pencapaian beliau mencatat jualan setiap albumnya yang mencecah ratusan ribu unit.[3][4][5]

Antara lagu-lagu Amelina yang terkenal ialah "Rindu", "Anak Dara Tua", "Katanya Nyatanya" dan "Memori Daun Kelapa". Beliau juga pernah memenangi Anugerah Industri Muzik Air (AIMA) dan beberapa anugerah platinum sepanjang aktif sebagai penyanyi. Beliau pernah menghilangkan diri dari radar industri muzik selama 15 tahun hingga menyebabkan dunia muzik dangdut mengalami kesuraman yang amat ketara sebelum mengambil keputusan untuk kembali ke dunia seni pada tahun 2014.[6][7][8][9] Pada tahun 2018, beliau merupakan salah seorang peserta Gegar Vaganza musim kelima.[10] Beliau masih aktif sehingga kino. Beliau terkenal dengan lagu Asyik Cinta.

Kehidupan awal

[sunting | sunting sumber]

Amelina dilahirkan pada 4 Ogos 1974 di Nilai, Negeri Sembilan. Anak sulung daripada lima beradik kepada pasangan Hasmah Ramli dan Amir Sharipuddin Abdul Raof, beliau membesar dan bersekolah di kampung halamannya sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bergelar penyanyi pada tahun 1994 ketika berusia 20 tahun. Sebelum menceburkan diri dalam bidang seni muzik, beliau pernah bekerja di kilang elektronik TDK selama hampir dua tahun. Amelina berkata kepada New Straits Times pada November 2018: "Saya mempunyai banyak pengalaman pendidikan yang baik yang mengajar saya untuk berdikari dan bijak. Saya tidak pernah merasa malu menjadi gadis kilang. Kerja paling sukar, tetapi kerja yang baik, jujur ​​dan saya belajar pentingnya kerja berpasukan dan ketekunan. Dan di kilang ini juga, saya membina keyakinan untuk menjadi penyanyi dan artis seperti pada hari ini".[11]

Sewaktu bergelar artis, Amelina diuruskan oleh adiknya, Amir Hanafi atau mesra disapa Angah dan dibantu oleh ibunya, Hasmah. Ibunya ialah orang yang bertanggungjawab mencetus idea kepada beliau untuk mencuba irama Dangdut.[12] Ketika zaman popularitinya, Amelina yang rapat dengan bapanya Amir Sharifuddin (Allahyarham) pernah menghadiahkan sebidang tanah di kampung halamannya bagi membina sebuah banglo yang menempatkan mereka sekeluarga di sana sehingga kini.[13] Beliau adalah sahabat baik Mas Idayu.

1994–1995: Album pertama dan bergelar Ratu Dangdut

[sunting | sunting sumber]

Bermula era 60'an hingga 80'an lagi irama Dangdut telah bertapak di Malaysia dengan kerjasama antara artis tanah air dengan artis dari Indonesia. Muzik dangdut menjadi cukup sinonim dengan masyarakat Melayu hingga melahirkan beberapa penyanyi veteran yang cukup terkenal dengan irama ini antaranya Zaleha Hamid, Ahmadi Hassan, Shidee, Ramlah Ram, M. Daud Kilau, Herman Tino dan Salih Yaacob. Kesemua mereka berjaya menjual album dangdut hingga berpuluh ribu unit, namun irama dangdut ketika itu masih belum mampu mendominasi genre popular di Malaysia hingga terjadinya revolusi dangdut pada era 1990-an. Dengan kejayaan Ramlah Ram kembali meletup dengan lagu "Selamat Jalan Romeo", beberapa syarikat rakaman mula merancang untuk mencari bakat yang boleh diketengahkan sebagai penyanyi dangdut. Warner Music Malaysia ketika itu juga telah mengikat kontrak bersama penyanyi Mas Idayu dan dalam masa yang sama mencari bakat baru untuk album berkonsepkan dangdut.[14]

Pada tahun 1994, penerbit dangdut Ruslan Mamat telah dicadangkan oleh rakannya Syed Mustaffa untuk menguji bakat Amelina di MUI Plaza, Jalan P. Ramlee. Amelina yang ditemani oleh ibunya telah diuji bakat oleh Ruslan bersama Zaidi Nordin dan Nasser Abu Kassim. Namun kedua-dua mereka beranggapan nyanyian lagu pop Amelina sekadar biasa sahaja. Setelah itu Ruslah telah mendapat idea untuk merakam album berkonsepkan dangdut kontemporari bersama Iwan dan penerbit dari Indonesia yang bernama Yannuar. Akhirnya Ruslan menawarkan projek itu kepada Amelina yang pada awalnya enggan merakam album dangdut, tetapi setelah dipujuk oleh ibunya dia akur.[15] Rakaman album sulung itu dibuat di Booty Studio, Jalan Pahang dan mengambil masa lebih dari dua bulan. Pada bulan pertama Amelina diberi masa untuk membuat persediaan rakaman. Setelah selesai rakaman, album itu diadunkan oleh oleh pengadun berpengalaman Loh Swee Fan yang ketika itu begitu gemarkan album tersebut malah menjangka ia bakal hits. Dengan keyakinan itu Ruslan membawa album itu kepada Nasser, namun Nasser yang ketika itu bergelar Pengurus A&R di Warner Music, dan beliau menolak. Ruslan yang bimbang kerugian terus membawa album itu ke beberapa syarikat rakaman antaranya PolyGram (Billy), BMG (Aziz Bakar), Sony Music (Johari Teh), Life Record (Ramli M.S.). Kebanyakan menolak kerana bagi mereka album dangdut tersebut tidak mampu terjual sebaik mana Ramlah Ram ketika itu, lebih-lebih lagi dari penyanyi baru yang tidak dikenali. Akhirnya Ruslan sekali lagi ke Warner Music untuk berjumpa Tony Fernandes (kini ketua pegawai eksekutif AirAsia) yang ketika itu merupakan Pengarah Urusan. Dengan sekali dengar, Tony bersetuju untuk membeli album tersebut dan mengikat kontrak bersama Amelina dan dari situlah bermulanya kerjaya Amelina yang asalnya seorang gadis kilang kepada seorang penyanyi popular tanahair.

Album pertama beliau yang menggunakan nama beliau sebagai tajuk album dan dipasarkan pada tahun 1994.[16][17] Lagu "Rindu" menjadi lagu megahits pada tahun tersebut hingga menjuarai carta Radio Muzik selama lebih dari 6 minggu. Ketika itu demam dangdut mula berlaku di mana selain Ramlah, kehadiran Amelina bersama rakan artis sebumbung Mas Idayu begitu mendapat sambutan. Imej dan gaya Amelina yang cukup berlainan daripada penyanyi dangdut lain cukup disenangi. Ketika itu muzik dangdut tidak lagi dikaitkan dengan irama gelek yang menggiurkan sebaliknya senikata dan senilagu serta persembahan yang ditampilkan Amelina cukup sederhana dan sopan. Selain "Rindu", single kedua berjudul "Yang Indah Yang Hangat" berjaya menguasai carta. Album sulung Amelina berjaya terjual melebihi 200,000 unit dalam tempoh setahun malahan berjaya terjual di Indonesia.

Setelah itu Ruslan Mamat dipanggil sekali lagi oleh Nasser dan Tony untuk menerbitkan album susulan buat Amelina. Kali ini konsep dan promosi diperkemaskan dengan bantuan pelbagai pihak termasuk perunding imej. Imej Amelina ketika ini cukup elegan dan berjaya menaikkan taraf penyanyi dangdut ke kelas yang tinggi. Pada penghujung tahun 1995, muncul pula album keduanya, Asyik yang dirakamkan di Bandung, Indonesia dengan sentuhan komposer Malaysia dan Indonesia[18] Seperti yang dijangka, album Asyik terus meledak sebaik dipasarkan hingga mencipta fenomena tersendiri hingga berjaya menyaingi penyanyi-penyanyi pop sedia ada. Album ini berjaya memenangi trofi Anugerah Industri Muzik ke-3 untuk kategori Album Pop Etnik Terbaik. Lagu-lagu seperti "Asyik", "Anak Dara", "Di Dadaku Ada Kamu" dan "Ah! Rindu Lagi" menjadi deretan hits yang cukup malar segar hingga kini. Tidak keterlaluan dikatakan album tersebut merupakan 'killer album' kerana berjaya menguasai carta radio dan jualan mencecah 250,000 unit. Lagu "Ah! Rindu Lagi" berjaya mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-11 dalam kategori Irama Malaysia. Selain itu Amelina berjaya menjadi satu-satunya penyanyi dangdut yang berjaya dicalonkan sebagai Penyanyi Wanita Popular oleh Anugerah Bintang Popular Berita Harian.

1996–1999: Kejayaan awal

[sunting | sunting sumber]

Selepas irama dangdut mendapat tempat dan pasaran meluas, pelbagai inisiatif dilakukan untuk memastikan irama tersebut diperkembangkan lagi termasuklah beberapa siri konsert jelajah yang membabitkan Amelina serta projek khas album Puteri Dangdut dan Dang Dang Dut yang dikelolakan oleh penerbit dan penyanyi dangdut terkenal Iwan.[19][20] Menerusi pembabitan dalam album-album ini, Amelina dikenali sebagai pasangan duet yang cukup serasi dengan Iwan. Antara lagu yang cukup popular gandingan mereka adalah "Yang Tersayang", "Memori Daun Pisang" dan "Sepayung Berdua". Ketika ini jugalah Iwan dan Amelina menjalinkan hubungan cinta. Album Dang Dang Dut yang menyaksikan kolaborasi Iwan, Amelina dan Sheeda berjaya terjual hingga 350,000 unit pada tahun 1996 menjadikan ia sebagai album paling laris pada tahun tersebut, sekaligus album dangdut paling laris sepanjang zaman. Pada tahun 1996 sahaja, keseluruhan album Amelina termasuk Asyik telah terjual lebih dari 500,000 unit menjadikan beliau sebagai artis berpendapatan tinggi pada pertengahan 1990an bahkan berjaya memasuki pasaran Jepun.[21][22] Ketika itu selain Amelina, Mas Idayu dan Ramlah Ram juga antara penyanyi dangdut wanita yang cukup laris dan mereka berjaya meletakkan nama sebaris dengan penyanyi-penyanyi wanita berpengaruh di era 90an dari pelbagai genre lain seperti Ella, Sheila Majid, Aishah, Ziana Zain, Shima, Noraniza Idris, Ning Baizura, Amy Mastura, Fauziah Latiff dan Siti Nurhaliza.[23]

Album ketiga Amelina yang diberi judul Cinta Oh Cinta diterbitkan pada penghujung 1997. Album ini sekali lagi berjaya terjual dengan laris tetapi ia sedikit berkurangan daripada dua album terdahulu. Ketika album ini keluar, Amelina diserang pelbagai kontroversi termasuk isu percintaannya dengan Iwan serta isu-isu remeh yang menyebabkan namanya sedikit tercemar. Pun begitu, album ini berjaya terjual melebihi 100,000 unit biarpun ketika itu negara mengalami kegawatan ekonomi.[24] Ia juga mempopularkan lagu-lagu seperti "Cinta Oh Cinta", "Semakin Rindu Semakin Asyik" dan "Zapin 7 Purnama". Ketika berlangsungnya Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur, Amelina diberi penghormatan untuk membuat persembahan. Sepanjang meniti kemuncak populariti beliau pernah membuat persembahan luar negara seperti di Indonesia dan Jepun.

Iwan dan Amelina sempat bergandingan dalam duet terakhir berjudul "Sepayung Berdua" dalam album Dunia Dangdut: Superduet Hits 1998. Lagu tersebut gagal dipromosikan ekoran kerjasama yang gagal dibentuk antara kedua-duanya. Tambahan, pada tahun 1999, Iwan telah memfailkan saman malu terhadap Amelina berkenaan "kontroversi seluar dalam".[25] Kerjaya seninya mula menjadi kucar-kacir. Single terakhirnya sebelum menghilang ialah lagu duet bersama Jamal Abdillah yang berjudul "Seri Langkat" (yang pernah dinyanyikan Sudirman Arshad bersama lagenda dangdut Zaleha Hamid) pada awal tahun 1999. Setelah itu Amelina terus menyepikan diri dari industri muzik setelah didakwa bernikah secara senyap-senyap. Kehilangan Amelina menjadi tanda tanya kepada semua peminat dan media, malahan syarikat rakaman Warner Music bersama Ruslan Mamat sudah sedia dengan material bagi album keempatnya yang dijangka keluar pada tahun 2000. Amelina didakwa sempat mengambil salinan demo lagu-lagu barunya tetapi tidak sempat merakam sebarang lagu. Ekoran kontrak yang ditinggalkan sebegitu sahaja, Warner Music aktif menerbitkan album kompilasi hits Amelina selama lebih 10 tahun demi menanggung kerugian atas kehilangan beliau. Untungnya, kesemua album kompilasi Amelina laris terjual dan lagu-lagunya malar segar. Kebetulan juga pasaran muzik dangdut jatuh pada tahun 2000 menyebabkan ramai penyanyi dangdut mula beralih arah. Ramai yang beranggapan muzik dangdut tidak akan sama seperti kemunculan Amelina sehinggakan permintaan peminat agar beliau kembali tidak pernah putus.

2000–2013: Menghilangkan diri

[sunting | sunting sumber]

Sepanjang kehilangannya, hanya beberapa kali beliau kelihatan muncul di khalayak ramai. Kali pertama muncul semasa beliau dan suami mendaftar pernikahan dan membayar denda di mahkamah syariah pada tahun 2000. Pada masa itu dia bertudung kerana keperluan prosedur hadir ke mahkamah tersebut. Selain itu, beliau juga pernah muncul seketika di media dengan berita yang heboh mengenai masalah rumah yang disewa bersama suami beliau. Ketika itu, beliau juga kelihatan bertudung. Mungkin kerana itu orang ramai beranggapan Amelina telah berhijab. Hakikatnya dia masih seperti dulu dan hanya mengenakan tutup kepala untuk elak daripada dirinya dikenali.[26][27] Amelina juga pernah mencuri perhatian sewaktu menghadiri pengkebumian arwah bapanya di Kampung Lambar, Labu, Negeri Sembilan pada 2009.[28] Beliau bagaimanapun tidak mahu ditemubual dan menyatakan beliau sudah tidak terlibat dalam dunia seni. Pada tahun 2012, kumpulan rock Kyoto Protocol memberi penghargaan kepada Amelina dengan merakamkan semula lagu "Rindu" dengan irama alternatif.

2014–kini: Kembali aktif

[sunting | sunting sumber]
Amelina pada 2015.

Pada 20 November 2014,[29][30] Amelina mengumumkan beliau akan kembali aktif dalam dunia seni suara selepas lebih sedekad menghilangkan diri.[31][32][33][34] Amelina juga turut membuat kejutan apabila muncul di lokasi awam bersama penyanyi Maya Matahari.[35] Akhirnya beliau mengumumkan kembali aktif dalam dunia seni suara selepas 15 tahun dan bakal bekerjasama dengan komposer Ajai yang pernah bekerjasama dengannya ketika album ketiga.[36]

Kemunculan semula Amelina menjadi perbualan hangat dan cukup dialu-alukan.[37][38] Beliau pernah muncul dalam rancangan temubual H-Live siaran Astro Awani yang memaparkan kerinduan rakan artis terhadap beliau terutamanya Erra Fazira yang merupakan sahabat karib beliau ketika zaman popularitinya dahulu.[39] Kemunculan perdananya di khalayak umum dengan membuat persembahan rasmi ialah di "Konsert HM Padat" yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 7 Disember 2014. Selain Amelina, antara artis yang terlibat ialah Asmidar, Aweera, Hyper Act, dan dua finalis Akademi Fantasia musim ke-11Ewal Ismail dan Sam Nuhair.[40][41][42] Seminggu selepas itu beliau muncul membuat persembahan di kaca televisyen buat pertama kali ketika peringkat akhir Gegar Vaganza musim pertama dengan membuat persembahan selingan khas bersama Jamal Abdillah yang pernah bergandingan dengannya dalam lagu "Seri Langkat".

Single pertama sejak kemunculan beliau hasil buah tangan Ajai adalah "Rindu 2015" yang digubah semula konsep muziknya dan dirakam bersama Stellar Band.[43] Amelina kemudian melancarkan single kedua berjudul "Cinta Harus Seksi" ciptaan Ajai yang berkonsepkan elektro-dangdut pada pertengahan 2015 Amelina juga digandingkan bersama Mas Idayu dalam program konsert khas siaran Aidilftri iaitu "Konsert Rendang Dendang Dangdut" untuk siaran Astro Ria. Pada 11 Disember 2015, Amelina kembali bergabung bersama Sheeda untuk "Konsert Dangdut Live" di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang. Setahun selepas kembali aktif, Amelina kemudian muncul semula di Indonesia, kali ini beliau diundang menyertai barisan pengkritik tetap di pertandingan Dangdut Academy Asia untuk siaran di stesen televisyen Indosiar di Indonesia bersama penyanyi dangdut dan irama melayu terkenal lain iaitu Inul Daratista, Iis Dahlia, Saipul Jamil, Soimah, Elvy Sukaesih, Ivan Gunawan, Mas Idayu, King Nassar, Siti Nurhaliza, Rosalina Musa, Fakhrul Razi, Beniqno Aguino, Cici Paramida dan Rita Sugiarto.[44] Amelina juga sempat merakam konsert khas terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) iaitu "Konsert Ratu" bersama Ella dan Fauziah Latiff pada 2016. Beliau kemudian melancarkan single terbaharu, "Cinta Harus Seksi".[45][46]

Pada 31 Ogos 2017, sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-60, Amelina mengadakan persembahan di konsert Live Showcase Amelina di KL. Biarpun mengalami masalah teknikal semasa diadakan, ia mendapat sambutan apabila Amelina berjaya menghiburkan para peminat dan hadirin yang menyaksikan persembahan beliau.[47]

Pada Julai 2018, Amelina bernaung pula di bawah syarikat pengurusan MindOrder Management yang turut menguruskan bintang-bintang popular dalam industri hiburan tanah air antaranya Erra Fazira, Fasha Sandha, Eyka Farhana, Jaa Suzuran dan Luqman Hafidz.[48] Maka bermulalah lembaran baharu buat kerjaya seni Amelina apabila beliau menerima lamaran untuk bersaing dalam Gegar Vaganza musim kelima selepas tiga kali menolak kerana faktor kurang bersedia dan komitmen keluarga pada awal kemunculannya semula dalam industri.[49][50][51][52][53] Selain perancangan yang strategik daripada pengurusannya, fasa baharu kerjaya Amelina juga didukung oleh penubuhan kelab peminatnya yang dinamakan AmelinaSoul pada 16 September 2018.

Mengulas mengenai Gegar Vaganza musim kelima, Amelina dan pengurusannya yakin penyertaan dalam program realiti popular itu adalah platform terbaik bukan sahaja untuk menguji kemampuan sebenarnya menyampaikan pelbagai genre lagu selain dangdut, malah ia akan melonjakkan semula publisiti dan populariti namanya untuk fasa baharu kerjaya nyanyiannya. Tiga bulan pertandingan berlalu, Amelina mara ke peringkat akhir dan mendapat tempat keempat.

Tidak bernoktah di situ, pencapaian itu menjadi pemangkin semangat untuk Amelina terus melangkah maju. Pengurusan beliau terus mencatur pelbagai pelan baharu buat bintang dangdut itu susulan populariti dan momentum daripada Gegar Vaganza. November dan Disember 2018 adalah tempoh yang sibuk dan padat buat Amelina apabila jadual hariannya terisi dengan pelbagai sesi temuramah dan fotografi bersama media, undangan persembahan di pelbagai acara, kempen-kempen produk dan kemunculan semulanya dalam bidang lakonan menerusi drama bersiri komedi berjudul Kariah Cak Pong sebagai Mak Andak Bella arahan Shuhaimi Lua Abdullah terbitan Tanah Beris Production untuk tayangan TV3 pada Mac 2019.

Mewarnai lagi fasa baharu jurnal kerjaya seninya, Amelina juga turut melancarkan lagu terbaharu berjudul "Janda Anak Enam" ciptaan sepenuhnya Kucing Manja.[54][55] Di sebalik kerancakan melodi lagunya dan judul yang dianggap tidak serius dan santai itu, lagu dangdut itu sebenarnya mengisahkan pahit maung dan kedukaan yang dilalui beliau dalam perkahwinannya sebelum ini. Sejak dilancarkan pada pertengahan Disember 2018, lagu itu mendapat sambutan menggalakkan daripada para peminat ratu dangdut itu.[56]

Selain lagu terbaharu, Amelina membuka tirai 2019 dengan pelbagai undangan nyanyian di pelbagai majlis dan acara. Malah, beliau sekali lagi menerima tawaran lakonan drama bersiri 16 episod berjudul Patah Sayap Bertongkat Paruh arahan Along Kamaludin terbitan Zeel Production bermula pertengahan Januari. Selain Amelina, drama bersiri yang disiarkan di Astro Ria itu turut dibintangi oleh Aaron Aziz, Fasha Sandha, Zarul Husin, Cat Farish, Elly Mazlein dan ramai lagi.[54][57]

Perhimpunan rasmi pertama penyanyi itu dan kelab peminatnya AmelinaSoul pada majlis khas yang dinamakan Malam Glam Bollydut Amelina pada 26 Januari 2019 adalah rakaman memori yang indah dan penghargaan tertinggi oleh penyanyi kesayangan ramai itu terhadap para peminatnya sejak kelab peminat itu ditubuhkan pada September 2018.[58]

Amelina dan pengurusannya turut merancang untuk mengeluarkan beberapa lagi lagu baharu pada suku pertama dan kedua 2019 ini, sebuah album studio dan beberapa konsert dan pertunjukan khas antaranya KL Jamm 2019 pada 28 April 2019.

Pada 7 Ogos 2020, beliau melancarkan single terbarunya, "Ada Untukmu" yang bergenre balada.[59] Ini menjadi percubaan sulung Amelina menyanyikan lagu balada selepas sekian lama memberi tumpuan kepada genre dangdut.[60][4]

Gegar Vaganza 2018

[sunting | sunting sumber]

Amelina merupakan salah seorang peserta Gegar Vaganza musim kelima pada 2018. Beliau telah memenangi tempat keempat sekaligus membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000. Beliau sebelum ini juga pernah menolak untuk menyertai Gegar Vaganza sebanyak tiga kali.[49][50][51][52][61] Berikut ialah senarai persembahan beliau:

Persembahan dan keputusan Gegar Vaganza (musim 5)
Konsert Tema Lagu tugasan Penyanyi asal Kedudukan Keputusan
Minggu 1 Oh Dia Ke? "Rindu & Asyik" Dirinya sendiri Ke-1 SELAMAT
Minggu 2 Dalam Diam Aku Mencintaimu "Kembali Terjalin" Slam Ke-2 SELAMAT
Minggu 3 Lain Macam "Segalanya Pasti" Aida Agil Ke-1 SELAMAT
Minggu 4 Bergegar Bergabung "Tak Pernah Hilang" (duet bersama Sam Innuendo) Amylea Azizan & Kaer Azami Ke-8 SELAMAT
Minggu 5 Lama Tak Dengar "Pelangi Petang" Sudirman Haji Arshad Ke-5 SELAMAT
Minggu 6 Terbaik, Bos! "Seroja" Search Ke-1 SELAMAT
Minggu 7 Road To Final Pusingan 1: "Kuch Kuch Hota Hai"
Pusingan 2: "Tua Mengejar Kita"
Udit Narayan & Alka Yagnik
Fauziah Latiff
Ke-2 SELAMAT
Minggu 8 Final Round Duet Platinum: "The Power of Love" (duet bersama Bob)
Battle (Hip Hop): "Teman Pengganti" (bersama Maya Matahari)
Celine Dion
Malique & Black Hanifah
Ke-4 TEMPAT KEEMPAT

Kehidupan peribadi

[sunting | sunting sumber]

Sejak lebih sedekad lalu, kehadiran semula beliau sentiasa dinantikan oleh peminat dan media ekoran kehilangannya setelah mengambil keputusan untuk bersara secara mengejut dan berkahwin secara rahsia. Amelina menikahi suaminya, seorang usahawan bernama Reduan Mahamood pada 20 Mei 1999.[62][4][63][64] Menerusi perkahwinan itu, Amelina dikurniakan enam orang cahaya mata, Puteri Nur’ Athirah (2001), Putera Al’ Affiq (2002), Putera Al’ Asyraff (2003), Puteri Nur’ Asyurah (2005), Putera Al’ Arffa (2007), dan Putera Al’ Amzar (2009).[65][66][31][67][68] Pasangan ini bercerai pada 29 Jun 2016.[69]

Diskografi

[sunting | sunting sumber]

Album studio

[sunting | sunting sumber]
  1. Amelina (1994)
  2. Asyik (1995)
  3. Cinta Oh Cinta (1997)

Filemografi

[sunting | sunting sumber]
Tahun Tajuk Watak Saluran TV
1995–1996 Sambal Tipah TV3
2019 Kariah Cak Pong Mak Ndak Bella
Patah Sayap Bertongkat Paruh Maznah Astro Ria
2021 Rahimah Tanpa Rahim Puan Sakinah TV3
2022 She Was Pretty Madam Rara Viu
2023 Kau? C.E.O Aku? Datin Faridah TV1
TBA Bukan Pilihan Dia Kak Long TV3

Telefilem

[sunting | sunting sumber]
Tahun Tajuk Peranan Saluran TV
2017 Diva Raya[70] Dirinya sendiri Astro Ria
2023 Akad Ibu Sejadah Rindu Sofia TV1

Televisyen

[sunting | sunting sumber]
Tahun Tajuk Peranan Saluran TV
2015 D Academy Asia

(musim 1)

Komentator Indosiar
2018 Gegar Vaganza (musim ke-5) Dirinya sendiri/Peserta Astro Ria
2021 Famili Duo TV3
2024 The Masked Singer Malaysia (musim 4) Peserta (Pom Pom Kin) Astro Warna

Konsert dan jelajah

[sunting | sunting sumber]
  • Konsert HM Padat (2014)
  • Konsert Rendang Dendang Dangdut (2015)
  • Konsert Dangdut Live (2015)
  • Konsert Ratu (2016)
  • Konsert Live Showcase Amelina (2017)

Anugerah dan pencalonan

[sunting | sunting sumber]
Tahun Anugerah Kategori Penerima/Karya tercalon Keputusan
1995 Anugerah Industri Muzik ke-3 Album Pop Tradisional Terbaik Asyik Menang
Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1995 Penyanyi Wanita Popular Dirinya sendiri Tercalon
Penghibur TV Wanita Popular Tercalon
1997 Anugerah Industri Muzik ke-5 Album Dangdut Terbaik Cinta Oh Cinta Tercalon
Anugerah Juara Lagu ke-11 Etnik Kreatif "Ah, Rindu Lagi"
Asyik
Tercalon
1998 Anugerah Industri Muzik ke-6 Susunan Muzik Dalam Lagu Terbaik Seri Langkat
Gubahan Ramli M.S. / Duet bersama Jamal Abdillah
Menang
1999 Anugerah Sri Angkasa 1999 Penghibur TV Terbaik[13] Dirinya sendiri Tercalon
  1. ^ Feride Hikmet Atak (2 Mei 2015). "Amelina tidak akan menyanyi sampai tua". mStar Online. Dicapai pada 4 Mac 2016.
  2. ^ Norimy Aimi (28 November 2014). "Amelina sanggup mula dari bawah". Mangga. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-12-07. Dicapai pada 10 Mac 2015.
  3. ^ "Album dangdut masih laris". Utusan Malaysia. 15 Oktober 1998. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-12-19. Dicapai pada 22 Oktober 2003.
  4. ^ a b c Syafil Syazwan Jefri (8 Ogos 2020). "Sukar buang lenggok dangdut". Harian Metro. Dicapai pada 8 Mac 2021.
  5. ^ Zaidi Mohamad (21 April 2015). "Amelina 'lelong' gelaran Ratu Dangdut". Berita Harian. Dicapai pada 15 Mac 2016.
  6. ^ h Live: Apa kata Malaysia? bersama Amelina. Astro Awani. 4 November 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-12-04. Dicapai pada 5 November 2014.
  7. ^ Wartawan Sinar Harian (14 Jun 2019). "Saya sedar siapa saya: Amelina". Sinar Harian. Dicapai pada 4 Mac 2020.
  8. ^ "Ratu Dangdut, Amelina bakal kembali selepas 15 tahun menyepi". Rotikaya. 20 November 2014. Dicapai pada 4 Mac 2015.
  9. ^ Syarriduzan Abdul Rashid (20 November 2014). "Amelina muncul kembali selepas 15 tahun". Berita Harian. Dicapai pada 17 Mac 2015.
  10. ^ Syarridzuan Abdul Rashid (2 Oktober 2018). "Tak mudah jadi Amelina yang baharu". Berita Harian. Dicapai pada 17 Mac 2019.
  11. ^ Dennis Chua (27 November 2018). "#Showbiz: I was a 'minah kilang' and I am proud of it - Amelina". New Straits Times. Dicapai pada 23 April 2019.
  12. ^ Saharudin Musthafa (24 Disember 2000). "Rayuan ibu Amelina menjelang Syawal". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-12-22. Dicapai pada 22 Oktober 2004.
  13. ^ a b "Sri Angkasa pertandingkan 60 kategori". Utusan Malaysia. 14 Julai 1999. Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-12-22. Dicapai pada 4 Mac 2010.
  14. ^ "Amelina... Catatan 1". Ruslan Mamat. 25 Ogos 2008. Dicapai pada 4 Mac 2010.
  15. ^ "Amelina terharu sambutan peminat". Harian Metro. 16 Januari 1995. Dicapai pada 30 Januari 2021.
  16. ^ Adam Salleh (1 Disember 1994). "Amelina tak kisah berimej dangdut". Harian Metro. Dicapai pada 30 Januari 2021.
  17. ^ Aneesa Alphonsus (12 Disember 1994). "Amelina takes the dangdut challenge". New Straits Times. Dicapai pada 30 Januari 2021.
  18. ^ "Amelina... Catatan 2". Ruslan Mamat. 25 Ogos 2008. Dicapai pada 4 Mac 2010.
  19. ^ Raja Nurfatimah Mawar Raja Mohamad (30 September 1996). "Dang Dang Dut gabungan artis". Harian Metro. Dicapai pada 5 Mac 2019 – melalui KLiK.
  20. ^ Zamani Yusof (10 Januari 1997). "Gosip lariskan album". Harian Metro. Dicapai pada 5 Mac 2019 – melalui KLiK.
  21. ^ Hasnurul Mohamed (12 April 2011). "Tidak mungkin bangkit semula". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-12-11. Dicapai pada 4 Mac 2012.
  22. ^ Hartati Hassan Basri (10 Mac 1996). "Alin setia". Metro Ahad. Dicapai pada 19 Oktober 2020.
  23. ^ "Amelina tak pandai gelek". Berita Minggu. 19 Mei 1996. Dicapai pada 15 Mac 2019.
  24. ^ Roslen Fadzil (4 November 1997). "Amelina lebih menawan". Harian Metro. Dicapai pada 5 Mac 2019 – melalui KLiK.
  25. ^ "Iwan saman Amelina". Bintang Popular. Berita Harian. 15 Julai 1999. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-12-19. Dicapai pada 13 Ogos 2008.
  26. ^ Rosli Manah (23 November 2014). "Amelina... gadis kilang ke puncak seni". Mangga. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-11-25. Dicapai pada 4 Mac 2015.
  27. ^ Akmal Abdullah (1 Februari 2009). "Ke mana Amelina menghilang?". Berita Minggu. Dicapai pada 17 Mac 2009.
  28. ^ "Amelina ziarah jenazah bapa". Utusan Malaysia. 7 Februari 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-12-22. Dicapai pada 4 Mac 2014.
  29. ^ Rudy Imran Shamsuddin (23 November 2014). "Amelina kembali aktif". Harian Metro. Dicapai pada 11 Mac 2015.
  30. ^ Dennis Chua (12 Disember 2014). "It's dangdut queen Amelina!". New Straits Times. Dicapai pada 15 Mac 2015.
  31. ^ a b "Amelina komen isu rumah tangga". Mangga. 25 November 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-11-22. Dicapai pada 11 Mac 2015.
  32. ^ Zul Husni Abdul Hamid (23 November 2014). "Amelina takut ditampar wartawan". Berita Harian. Dicapai pada 11 Mac 2015.
  33. ^ Serimah Mohd Sallehuddin (24 Februari 2015). "Amelina kembali demi menyara anak". Berita Harian. Dicapai pada 17 Mac 2015.
  34. ^ Noor Ashikin Abdul Rahman (8 April 2016). "Dangdut queen Amelina makes comeback - for her children". The New Paper. Dicapai pada 19 Mac 2020.
  35. ^ "Amelina kembali menyanyi?". Mangga. 4 November 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-09-17. Dicapai pada 11 Mac 2015.
  36. ^ "Amelina buat 'comeback' menyanyi bersama Ajai". Murai.com.my. 21 November 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-04-18. Dicapai pada 11 Mac 2015.
  37. ^ "Ratu Dangdut Amelina bakal kembali dengan imej yang lebih sopan". Murai.com.my. 25 November 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-12-08. Dicapai pada 11 Mac 2015.
  38. ^ Rosli Manah (24 November 2014). "Amelina dijangka kembalikan gemilang dangdut". Mangga. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-12-07. Dicapai pada 11 Mac 2015.
  39. ^ Azyyati Ahmad (1 Disember 2014). "Dangdut queen Amelina-Erra Fazira heartfelt reunion". Astro Awani. Dicapai pada 24 April 2015.
  40. ^ Syanty Octavia Amry (28 November 2014). "Konsert Padat HM: Nidji, Amelina tak sabar". Harian Metro. Dicapai pada 21 Mac 2019.
  41. ^ Harian Metro (7 Disember 2014). "12 artis meriahkan Konsert HM Padat". Dicapai pada 21 Mac 2019.
  42. ^ Amirul Haswendy Ashari (7 Disember 2014). "Amelina bakal gegar Shah Alam". Harian Metro. Dicapai pada 21 Mac 2019.
  43. ^ Amelina selesa Rindu diperbaharui. Astro Awani. 4 Mei 2019. Dicapai pada 11 Mac 2020.
  44. ^ Puji Asputi HPS (17 November 2015). "Memetakan kekuatan peserta D'Academy Asia dari 4 negara" (dalam bahasa Indonesia). Liputan 6. Dicapai pada 11 Mac 2016.
  45. ^ Afiqah Syamin (8 September 2016). "Amelina kembali menyinar dengan pelancaran video muzik Cinta Harus Seksi". Wanista. Dicapai pada 11 Mac 2017.
  46. ^ Feride Hikmet Atak (4 April 2017). "Amelina akur kemunculan semula kurang impak". Berita Harian. Dicapai pada 17 Mac 2018.
  47. ^ Sudirman Mohd Tahir (3 Oktober 2017). "Amelina puas hati". Harian Metro. Dicapai pada 8 Mac 2018.
  48. ^ "Amelina tukar imej demi peminat". Kosmo!. 10 September 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-09-12. Dicapai pada 25 Mac 2019.
  49. ^ a b "Zamani dan Amelina antara 12 peserta Gegar Vaganza 5". Utusan Borneo. 22 September 2018. Dicapai pada 10 Mac 2019.
  50. ^ a b "Tak mudah jadi Amelina yang baru". Berita Harian. 1 Oktober 2018. Dicapai pada 10 Mac 2019.
  51. ^ a b Mohd Al Qayum Azizi (19 September 2018). "Elite, Amelina, Zamani antara 12 peserta Gegar Vaganza 5". mStar Online. Dicapai pada 10 Mac 2019.
  52. ^ a b Najiy Jefri (17 Oktober 2018). "Amelina hampir pengsan". Harian Metro. Dicapai pada 15 Mac 2019.
  53. ^ Ifqdar Rahman (1 Oktober 2018). "Amelina berjaya tepis tanggapan awal warganet". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Oktober 2018. Dicapai pada 6 Ogos 2019.
  54. ^ a b Sudirman Mohd Tahir (21 Januari 2019). "Janda Anak Enam lagu terbaru Amelina". Harian Metro. Dicapai pada 5 Mac 2019.
  55. ^ Izwan Mohd Isa (21 Januari 2019). "Amelina sindir bekas suami menerusi lagu". Kosmo!. Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-02-03. Dicapai pada 28 Mac 2019.
  56. ^ "Amelina sindir lelaki menerusi lagu Janda Anak Enam". Berita Harian. 21 Januari 2019. Dicapai pada 10 Mac 2019.
  57. ^ Kamaruddin Razal (11 April 2019). ""Hidup gila watak, tak kayu... Suka!" - Peminat puji lakonan Amelina". Astro Gempak. Dicapai pada 21 Mac 2020.
  58. ^ Kemalia Othman (27 Januari 2019). ""Ada saja yang tak puas hati, dengki dengan janda, letak tajuk ibu tunggal tak sedap bunyinya" - Amelina". mStar Online. Dicapai pada 10 Mac 2019.
  59. ^ Dennis Chua (20 Ogos 2020). "#Showbiz: Redefining Amelina, from dangdut to ballad" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 4 Mac 2021.
  60. ^ Norfaezah Sakri (7 Ogos 2020). "27 tahun genre dangdut, Amelina buat kejutan, muncul single balada 'Ada Untukmu' - "Hadiah buat peminat"". mStar Online. Dicapai pada 5 Mac 2021.
  61. ^ Syafiqah Jalal (28 Ogos 2019). ""Inilah hakikat di sebalik kamera, realiti seorang penyanyi dangdut" - Amelina". Astro Gempak. Dicapai pada 16 April 2020.
  62. ^ Shahrin Adzrin Jamil (25 Jun 2009). "Pemilik rumah dapat perintah mahkmah usir Amelina dari rumah sewa". mStar Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-04-12. Dicapai pada 10 Mac 2010.
  63. ^ "Amelina buka rahsia kisah rumah tangga". Harian Metro. 5 April 2020. Dicapai pada 5 April 2020.
  64. ^ "Amelina daftar perkahwinan di Perlis". Utusan Malaysia. 17 Februari 2000. Dicapai pada 9 Julai 2013.
  65. ^ Kamaruddin Razal (28 Ogos 2018). ""Seorang diri membesarkan 6 anak... Basuh baju melambak setiap hari macam kedai dobi" - Amelina". Astro Gempak. Dicapai pada 4 Mac 2020.
  66. ^ Kamaruddin Razal (25 Julai 2019). ""Merenung masa depan... Inilah nasib ibu tunggal" - Amelina". Astro Gempak. Dicapai pada 4 Mac 2020.
  67. ^ Raja Nurfatimah Mawar Raja Mohamad (23 Jun 2018). "Penawar duka Amelina". Berita Harian. Dicapai pada 15 Mac 2019.
  68. ^ Farhana Ab Rahman (15 September 2015). "Amelina syukur rezeki murah selepas buat kemunculan semula". Berita Harian. Dicapai pada 17 Mac 2016.
  69. ^ Fatin Farhana Ariffin (4 April 2020). "Saya ditinggal sehelai-sepinggang - Amelina". Berita Harian. Dicapai pada 8 Jun 2020.
  70. ^ "Dangdut queen returns to small screen" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. 6 Julai 2017. Dicapai pada 22 Mac 2018.[pautan mati kekal]

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]