Illyasviel von Einzbern
Illyasviel von Einzbern, kadang-kala dieja sebagai Ilya, merupakan watak fiksyen daripada novel visual dan siri anime Jepun Fate/stay night oleh TYPE-MOON. Disebabkan rambut perak keputih-putihan dan mata merahnya, dia sering dianggap sebagai seorang albino.
Seorang bangsawan Jerman, dia mengembara ke tanah Jepun untuk menyertai peperangan Holy Grail sebagai seorang Master. Illyasviel mempunyai penampilan yang suci dan potensi yang tiada tolak bandingnya sebagai seorang Master. Dia tinggal di sebuah istana di luar Fuyuki City, hanya didampingi Servantnya dan dua orang gaji. Illyasviel dipanggil hanya sebagai "Ilya" oleh mereka yang bergaul atau rapat dengannya. Ibunya, Irisviel von Einzbern, telah bertarung di samping Saber dan Emiya Kiritsugu sewaktu perang Holy Grail yang sebelumnya.
Seiyu untuk watak Ilya ialah Mai Kadowaki dan dalam alihan suara bahasa Inggeris dilakukan oleh Stephanie Sheh.[1]
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Ilya pada awalnya muncul sebagai musuh Shirō Emiya. Sebab utama Ilya memburu Shirō disebabkan oleh ayah Shirō sendiri, Kiritsugu Emiya, yang telah bekerja untuk keluarga Ilya tetapi mengkhianati keluarganya dengan menghancurkan Holy Grail tersebut. Selepas Berserker ditewaskan, Ilya tidak lagi mempunyai azam mahupun keinginan untuk bertarung, dan terus tinggal bersama-sama Shirō.
Dalam kebenarannya, Ilya ialah seorang Homunculus, manusia tiruan/buatan yang diberi nyawa dengan mencampurkan sihir kepada sel-sel sperma, asalnya dicipta dan dibesarkan oleh keluarga Einzbern. Dia sebenarnya tua sedikit daripada Shirō, cuma kelihatan demikian akibat kadar pertumbuhan yang terbantut. Dalam senario Heaven's Feel, suatu petunjuk telah diberi di mana sperma yang digunakan untuk mencipta Ilya berasal daripada Kiritsugu Emiya, secara langsung menjadikannya anak kandungnya dan adik angkat Shirō. Minatnya terhadap Shirō menjadi tanda tanya, kerana Kiritsugu, ayah angkat Shirō, telah disayangi Ilya sebagai seorang bapa, namun Kiritsugu menetap di Jepun sebagai penjaga Shirō walaupun selepas mengkhianati keluarga Einzbern dengan menghancurkan Holy Grail kesayangan mereka. Keluarga Einzbern kemudiannya melatih Ilya dengan tegas supaya dia membesar menjadi "penyalur" untuk Holy Grail yang seterusnya, dan seorang Master yang akhirnya dapat membawa Holy Grail itu ke pangkuan keluarganya. Ibu Ilya yang meninggal dunia dalam perang Holy Grail keempat dan diikuti oleh peninggalan ayahnya, Ilya mula berasa marah terhadap Kiritsugu, dan seterusnya, Shirō sendiri. Dia merasakan Kiritsugu meninggalkannya untuk Shirō, dan berasa cemburu terhadap Shirō disesbabkan hal ini. Akan tetapi, pada waktu yang sama, dia juga berasa rapat terhadap Shirō kerana hubungannya dengan ayahnya, Kiritsugu.
Keluarga Einzbern, salah satu daripada tiga keluarga ahli sihir yang terlibat dalam peperangan Holy Grail ini (yang lain termasuklah keluarga Tōsaka dan Makiri/Matō), bertanggungjawab di atas penciptaan saluran-saluran yang menempatkan roh-roh epik atau Servant yang terkorban, keluarga Makiri bertanggungjawab mencipta sistem Master dan Servant, manakala keluarga Tōsaka membekalkan tanah yang menjadi Fuyuki City. Oleh itu, Ilya disediakan oleh keluarganya untuk memainkan peranan sebagai saluran atau penyalur untuk Holy Grail tersebut.
Peranan
[sunting | sunting sumber]Dalam senario Fate, Ilya memainkan watak sebagai musuh utama Shirō dan Saber, dan akhirnya tinggal dengan amannya bersama-sama Taiga selepas dia ditewaskan. Dalam senario Unlimited Blade Works, jantungnya dikoyakkan Gilgamesh manakala dalam senario Heaven's Feel, dia membantu Shirō dalam sepanjang pertarungannya dan akhirnya mengorbankan dirinya untuk menjadi saluran bagi Holy Grail itu.